Berita

Terima rasuah tutup kes dadah: Dua penguat kuasa direman

SALAH seorang anggota penguat kuasa yang direman kerana menerima rasuah.
- Diterbit 22 Februari 2025 6:00 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi menutup kes siasatan membabitkan kesalahan dadah.

Perintah reman selama lima hari terhadap kedua-dua suspek lelaki yang berusia 30-an dikeluarkan Majistret Syahirah Abdul Salim, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang.

SALAH seorang anggota penguat kuasa yang direman kerana menerima rasuah.

Menurut sumber, suspek pertama telah direman bermula semalam sehingga 25 Februari manakala suspek kedua ditahan reman bermula hari ini sehingga 26 Februari.

Katanya, suspek pertama telah ditahan pada Khamis dan suspek kedua ditahan pagi tadi di pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat dan melakukan perbuatan tersebut pada Januari dan Februari tahun ini.

“Kedua-dua suspek dipercayai telah meminta wang rasuah kira-kira RM3,000 dan telah menerima ‘pendahuluan’ kira-kira RM1,800 pada Januari lalu,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas