Berita

Terima kasih Malaysia – JMSDF

- Diterbit 29 Disember 2020 6:21 AM MYT

JAPAN Maritime Self Defence Force (JMSDF),  angkatan tentera laut keempat terbesar di dunia, telah melakukan rondaan di perairan Somalia dan Teluk Aden di Afrika sejak 10 tahun lepas, bagi melindungi kapal-kapal rakan sekutu Jepun di sepanjang laluan laut itu daripada serangan lanun.

Bagaimanapun, Malaysia turut berperanan dalam membantu pasukan pertahanan Jepun itu dari aspek penempatan anggota JMSDF.

Jepun menghargai usaha Malaysia itu dan tahun ini sahaja anggota tentera mereka itu melakukan lima persinggahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Pangkalan Udara Tentera Subang di sini, ketika dalam perjalanan ke Afrika dan juga semasa perjalanan pulang pada akhir perkhidmatan tiga bulan.

Pergerakan unit JMSDF ke-40 yang dalam perjalanan ke Djibouti turut singgah di KLIA pada September dan sekali lagi baru-baru ini, transit semalaman sebelum kembali ke Jepun.

Timbalan Atase Pertahanan di Kedutaan Jepun di Malaysia Komander Naomi Igrashi sendiri menyambut ketibaan 32 anggota tentera dengan dua pesawat turbo JMSDF selepas penerbangan jarak jauh dari Djibouti dan persingahan di Maldives.

Beliau memberitahu Bernama di KLIA bahawa dalam keadaan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, lapangan terbang di seluruh dunia yang membenarkan transit bermalam agak terhad.

“Dan Malaysia menerima aset kami, membenarkan kami bermalam bagi mengisi minyak serta membenarkan anggota kami rehat yang amat mereka perlukan, di hotel berdekatan.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan itu. Terima kasih,” kata Komander Naomi, wanita pertama dilantik sebagai Atase Pertahanan di Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan walaupun dalam keadaan pandemik, Jepun meneruskan usaha menghalang aktiviti lanun di luar negara dan persinggahan untuk pergi dan balik antara Jepun dan Djibouti merupakan satu komponen penting dalam mengatur gerak pasukan.

“Kerjasama dengan Malaysia untuk pasukan ini menyumbang kepada keselamatan maritim dan juga komuniti antarabangsa. Jepun akan terus bekerjasama dengan Malaysia dan mempertingkatkan lagi hubungan dua hala,” katanya.

Menjelaskan mengenai kepentingan pasukan JDSDF itu, Komander Naomi berkata banyak kapal perdagangan melakukan persinggahan dari Afrika, Timur Tengah dan Barat Eropah yang dalam perjalanan ke Jepun membawa minyak dan pelbagai barangan lain, dan Jepun bergantung penuh kepada pengangkutan laut dan perlindungan sedemikian amat diperlukan demi pembangunan dan kemakmuran Jepun.

Beliau berkata hubungan kerjasama antara JMSDF dan Malaysia telah lama terjalin, bukan sahaja berkaitan tentera laut namun pelbagai isu lain termasuk latihan anggota dan seminar bantuan kemanusiaan.

Lt Komander Masahiko Ishimura yang baru menamatkan misi tiga bulan berkata sepanjang tugasnya, tidak berlaku sebarang insiden lanun yang serius.

“Perkara yang paling penting ialah bagaimana mengelakkan anak kapal daripada dijangkiti COVID-19 semasa misi dan kami menamatkannya tanpa sebarang kes virus maut itu.

“Kami tidak akan dapat melaksanakan misi kami tanpa persefahaman dan kerjasama Malaysia dan juga komuniti antarabangsa,” katanya.

Pada tiga tahun pertama sejak pertama kali menggerakkan asetnya ke rantau itu pada 2009, lebih 200 kes lanun berlaku setiap tahun, namun berikutan operasi antilanun oleh JMSDF dan tentera laut dari negara-negara lain, aktiviti lanun telah turun dengan ketara.

Pesawat JMSDF akan melakukan operasi amaran dan pemantauan dalam zon penerbangan. Informasi ini kemudiannya dikongsikan dengan organisasi lain yang berkaitan dan menyumbang untuk menggelakkan aktiviti lanun dan menyekat kapal yang disyaki sebagai kapal lanun.

Jepun mempunyai sebuah kemudahan di Djibouti dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan unit tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas