MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengucapkan terima kasih kepada semua pembayar cukai tanah di Putrajaya yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Mini Karnival yang dianjurkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Putrajaya di Shaftsbury Putrajaya.
“Sebelum ke acara kemuncak, saya dibawa melawat beberapa booth perkhidmatan yang dibuka kepada pengunjung seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan banyak lagi.
“Yang juga agak menarik perhatian saya adalah penganjuran pekan nostalgia di Shaftsbury ini, yang menjual barang-barang kraf dan klasik,” katanya di Facebook.
Menurut Zaliha, beliau turut berbincang untuk membawa penganjuran itu ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata ini sebagai antara inisiatif placemaking di kawasan tumpuan pelancong dan warga asing seperti Jalan Silang.
“Ini supaya kita boleh tarik semula rakyat Malaysia untuk melawati kawasan ini. Ini menarik,” katanya.
Zaliha juga memaklumkan beliau kemudian ke acara kemuncak Majlis Apresiasi Mini Karnival itu yang mengiktiraf 10 pembayar cukai yang terbesar di Putrajaya.
Beliau berkata tiga yang teratas pembayar cukai di Putrajaya adalah Putrajaya Holdings, Tenaga Nasional Berhad dan Perbadanan Putrajaya.
“Pada tahun ini, PTG Putrajaya telah mencapai target 100 peratus kutipan hasil cukai sejak Ogos lagi,” katanya.
Sementara itu, Zaliha berkata dalam ucapannya, beliau menyambut baik inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) iaitu aplikasi Direct Debit, pelan bayaran ansuran dan kiosk layan diri.
Beliau meminta kiosk layan diri itu diletakkan di kawasan tumpuan ramai untuk memudahkan semua penduduk mendapatkan perkhidmatan PPTGWP di mana-mana sahaja.
“Dalam program mini karnival ini juga, turut dianjurkan taklimat literasi hartanah bagi memudahkan pemahaman masyarakat yang hadir.
“Tahniah PTG Putrajaya atas penganjuran ini,” katanya. – WILAYAHKU