BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui atas kecuaian memuat naik video promosi produk nikotin di media sosial miliknya.
Ekoran itu, Siti memohon maaf kerana kekhilafan dalam membuat perkongsian berkenaan tanpa menyelidik dan mengetahui produk yang dipromosikan itu.
“Maaf atas khilaf saya mengenai produk yang saya masukkan di IG (Instagram) feed saya sebelum ini.
“Saya sedar ini adalah khilaf saya tanpa menyelidik atau mengetahui sepenuhnya mengenai produk terbabit,” tulisnya di Instagram Story miliknya.
Menurut Siti, dia berterima kasih di atas teguran yang diberikan dan memaklumkan sudah memadam hantaran terbabit di media sosial.
“Terima kasih di atas teguran, pemberitahuan dan juga memaklumkan hal ini kepada saya.
“Saya sudah memadamkan hantaran itu dan terima kasih sekali lagi di atas teguran yang diberikan,” katanya.
Sebelum ini, Siti memuat naik sebuah hantaran mempromosikan produk nikotin dipercayai merupakan perniagaan dijalankan oleh anak tirinya iaitu Aazief Khalid.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai termasuk dari laman Facebook Public Health Malaysia yang menegur tindakan penyanyi berkenaan.
Menurut pengendali akaun berkenaan, Siti sebagai seorang personaliti berpengaruh boleh memberikan kesan besar terhadap masyarakat. – WILAYAHKU