USAHAWAN, pakar motivasi dan pelakon, Datuk Zamshuri Ramli, 54, melakar satu kejayaan membanggakan apabila menerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025.
Pelakon yang pernah mencipta populariti menerusi drama bersiri Skuad Elit sekitar 2003 ini meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

Bukan itu sahaja, bagi Zamshuri, anugerah anjuran Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi merupakan satu tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Alhamdulillah. Anugerah ini satu penghormatan besar buat diri saya. Apatah lagi, anugerah ini turut diterima insan hebat Datuk Aaron Aziz dan Datuk Norman KRU.
“Saya rasa kecil sahaja diri ini hendak dibandingkan dengan mereka. Namun, semangat dan pengorbanan mereka dalam apa yang diperjuangkan cukup memberi inspirasi kepada saya.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga buat Datuk Nor Hasnal Hashmi yang merupakan individu penting di sebalik (DPDDM). Beliau nampak usaha saya dalam terus berbakti kepada masyarakat. Saya akan terus berbakti,” katanya.

Bagi Zamshuri yang juga dikenali sebagai Master Coach HBA ini, setakat ini beliau telah melahirkan lebih 7000 usahawan menerusi Program Pembangunan Usahawan Waqaf Digital yang pertama di Malaysia.
Apa yang menarik, Zamshuri telah memberi peluang kepada masyarakat berumur dari 18 hingga 55 tahun yang tidak mempunyai pendidikan tinggi untuk menjadi usahawan.
Bukan itu sahaja, Zamshuri juga membuka peluang kepada mereka yang muflis, mempunyai CTOS dan CCRIS.
“Pengiktirafan yang diberikan membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, saya sudah lahirkan lebih 7000 usahawan menerusi Program Pembangunan Usahawan Waqaf Digital.
“Setiap bulan saya buat sesi temu duga dan lima orang yang terpilih saya taja sepenuhnya selama tiga tahun. Inilah saya lakukan sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Jadi boleh saya katakan, kebanyakan mereka yang tak mempunyai diploma atau hanya setakat peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sukar untuk mendapat peluang yang sebegini baik. Ini disebabkan hanya kerana kurang cemerlang dalam akademik.
“Sedangkan mereka yang mempunyai diploma dan Ijazah mempunyai peluang yang lebih bagus berbanding golongan ini.
“Siapa lagi nak bantu mereka yang kurang berjaya dalam akademik? Saya pilih yang betul – betul bersemangat sentiasa berfikiran positif, mempunyai personaliti menarik.
” Dalam masa yang sama, dia wajib suka dua perkara ini iaitu nak jadi usahawan dan berminat dengan jualan serta pemasaran,” ujarnya.

‘Ada sebab tidak bernasib baik dalam akademik’
Menurut Zamshuri, mereka yang tidak berjaya dalam akademik bukannya malas tetapi dihalangi situasi tertentu.
“Kadang-kadang mereka bukan tak pandai tetapi tidak diberikan peluang. Mungkin tidak dapat sambung belajar disebabkan datang daripada keluarga susah.
” Saya melihat, kalau peluang tidak diberikan, situasi ini jadi lebih Parah seperti menjadi punca berlakunya gejala sosial.
“Apabila golongan ini mahu berniaga, ada saja syarat atau kelayakan yang tidak mampu dipenuhi mereka kerana tidak belajar tinggi.
“Jadi saya fikir, golongan ini memerlukan program seperti yang saya anjurkan. Di mana saya akan tolong dari A to Z. Bukan hanya separuh jalan atau janji manis sahaja.
“Macam inilah. Kita semasa kecil dulu, sebelum pandai berjalan, berapa kali kita jatuh. Mesti jatuh tidak terkira banyaknya sebelum kita mampu berjalan dan berlari.
“Ketika jatuh itu, kita sentiasa ada pembimbing iaitu ibu dan ayah kita yang sabar melatih kita sampailah kita mahir berjalan.
“Begitulah juga dalam bidang usahawan, perlu bimbing mereka daripada kosong sampailah dia mahir. Kemudian baru kita lepaskan mereka menentukan arah tuju mereka. Di mana, mereka sudah mempunyai ilmu untuk mencari hala tuju bisnes mereka.
Sebba tu kalau ikut program saya, mereka perlu dibimbing sekurang-kurangnya setahun hingga tiga tahun.
Bagi mereka yang berminat, antara kelebihan apabila terpilih dalam program ini adalah modal permulaan asas usahawan di taja (diwaqafkan oleh Mentor Coach), latihan keusahawanan profesional zero to hero percuma selama 3 tahun dan personel coaching mentor mantee percuma selama 3 tahun.
Mereka juga berpeluang dapat geran terbuka untuk anjurkan seminar perniagaan di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak selama 3 tahun, ada simpanan KWSP ISARAAN, caruman Perkeso dan khairat kematian.
Bukan itu sahaja, peserta diberikan produk percuma untuk memulakan perniagaan, sijil pengiktirafan Certified International Marketing Consultant dari universiti swasta dan sijil pengiktirafan Public Speaking Profesional serta banyak lagi.
Rindu berlakon
Zamshuri pernah meniti saat populariti pada awal 90-an apabila menjadi rebutan pihak penerbit untuk membintangi drama dan filem mereka.
“Saya bersyukur kerana boleh dikatakan tak menang tangan dengan tawaran berlakon ketika itu.
“Filem-filem lakonan saya antaranya ialah Don (Bollywood), Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3 dan Kepulangan.
“Saya juga pernah bergelar penyampai radio untuk IKIM serta menghasilkan album secara berduet dengan Rashdan Baba berjudul Langkah yang berkonsep motivasi,” katanya.

Peralihan masa menyaksikan Zamshuri memperlahankan aktiviti lakonan dan beralih kepada kerjaya lain seperti membuka perniagaan berkaitan latihan dan pembangunan insan berunsur motivasi.
“Saya pernah memperlahankan kerjaya lakonan selama dua tahun atas beberapa faktor antaranya menjaga bapa yang uzur dan kemudian arwah meninggal dunia pada 2011.
“Ketika itu juga saya sudah mula aktif sebagai penceramah motivasi bebas. Saya terpaksa fokus pada perkara yang lebih penting dan menjadikan lakonan sebagai kerjaya kedua.
“Drama terakhir saya ialah Dendam Sarakit dan Transit Terakhir yang boleh ditonton menerusi YouTube.
“Bagaimanapun saya macam nak buat ‘comeback’ kerana rasa rindu dengan semua rakan-rakan media dan artis,” katanya yang pernah menjadi peserta Hero Remaja dan Manhunt pada tahun 90-an. – WILAYAHKU