Berita

“Tergamak lagu ni menghantui minda Kak Iti”… Bukan Lagi Kita versi Siti Nurhaliza tular

- Diterbit 5 Februari 2025 9:00 PM MYT

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meraih perhatian dan pujian ramai apabila secara spontan menyanyikan lagu Bukan Lagi Kita, nyanyian asal Nadeera Zaini.

Menerusi sepotong video pendek itu, rata-rata netizen terpesona dengan suara lemak merdu pelantun lagu Sejarah itu.

Berkongsi di Instagram Story pada Selasa, penyanyi nombor satu negara itu juga akui lagu tersebut sentiasa bermain di fikirannya.

“Lagu ini memang tengah bermain-main dalam kepala Kak Iti (panggilan Siti) lepas video ni. Tergamak lagu ni menghantui minda Kak Iti,” tulisnya.

Dalam video sama, Nadeera yang berada di sebelah Siti dilihat tersenyum sambil sama-sama menyanyi, teruja mendengar lagunya dinyanyikan secara spontan oleh idola ramai itu.

Jelas Nadeera, dia hanya meminta secara spontan untuk Siti menyampaikan lagu tersebut selepas usai rakaman MAGISiti dijalankan.

Sekadar info, lagu Bukan Lagi Kita merupakan nyanyian Nadeera Zaini dan mendapat sentuhan Hael Husaini & Iqie Hugh.

Lagu ini juga mula menjadi tumpuan netizen selepas diangkat menjadi runut bunyi drama Curang Tanpa Niat lakonan Mira Filzah, Shukri Yahaya dan Sharifah Sakinah.

Pada masa sama, lagu ini juga berjaya menjadi finalis Anugerah Juara Lagu Ke-39 akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas