TERENGGANU Fight Festival (T-Fight Festival) 2023 yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak bermula 29 hingga 30 Sept ini akan dianjurkan selari dengan konsep ‘Sukan Patuh Syariah’ yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
Penolong Pengarah MSNT Dr Nasree Najmi berkata konsep ‘Sukan Patuh Syariah’ dan ‘Fit Is Sunnah’ telah dilaksanakan dalam penganjuran beberapa siri kejohanan Muay Thai di negeri itu sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.
“Kerajaan negeri telah memberi beberapa garis panduan untuk diikuti dengan atlet boleh memakai seluar pendek tetapi mestilah memakai seluar tights melebihi paras lutut dan berada di atas pusat.
“Sukan-sukan lain juga tidak terkecuali daripada prinsip sukan patuh syariah. Apa sahaja sukan yang ingin dilaksanakan, pihak mereka (penganjur) harus patuh kepada polisi kerajaan negeri,” katanya pada sidang media kejohanan itu di sebuah hotel, di sini hari ini.
Sementara itu, petinju kelab Singamuda Kuda Merah PDRM, Muhammad Rafi Abdul Manaf berkata konsep ‘Sukan Patuh Syariah’ tidak akan mengganggu prestasinya.
“Dengan mematuhi konsep ini, corak perlawanan saya tidak terjejas, (dan) saya tetap boleh mempamerkan aksi terbaik,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Ropi.
Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu Najmi Abdullah berkata T-Fight Festival 2023 akan mengangkat imej kerajaan negeri yang komited dalam menjayakan industri pelancongan sukan.
Beliau berkata T-Fight Festival juga akan cuba melakar sejarah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dengan melakukan persembahan seni mempertahankan diri selama 16 jam tanpa henti, yang turut melibatkan penggiat karate, wushu, taekwondo, silat, tinju dan judo.
Penganjuran T-Fight Festival selama dua hari itu diharap mendapat sambutan mengalakkan dengan sasaran kehadiran antara 10,000 hingga 20,000 pengunjung. – WILAYAHKU
Sumber: BERNAMA