PUTRAJAYA merupakan salah satu lokasi paling sinonim dalam kalangan peminat sukan berbasikal.
Selain untuk kesihatan tubuh badan, berbasikal sambil melihat keindahan panorama indah di sekeliling dapat menenangkan fikiran.
Sehubungan itu, bagi merancakkan aktiviti berbasikal, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif menganjurkan Putrajaya Inter-Park Ride (PIPR) 2025 pada 9 Februari ini bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3.
Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, program yang bermula dari pukul 7 hingga 11 pagi itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat ke atas penggunaan taman untuk kegiatan fizikal, terapi tekanan dan menyembuhkan penyakit, selain menjadi tempat bagi komuniti dewasa dan kanak-kanak berinteraksi serta meneroka kekayaan alam sekeliling dengan berkonsepkan ‘Healthy Park, Healthy People’.
“Dalam masa sama ia juga diadakan bertujuan merancakkan industri pelancongan di Putrajaya melalui pelancongan sukan berkonsepkan fun ride dengan jarak sejauh 20 dan 40 kilometer (km).
“Yuran pendaftaran akan dikenakan sebanyak RM45 (kategori 20km) dan RM55 (kategori 40km).
“Penyertaan terbuka kepada peserta berusia 12 tahun ke atas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fadlun berkata PIPR bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah membuka peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
“Penganjuran PIPR ini adalah merupakan platform untuk warga Putrajaya dan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat sekali gus dalam usaha merealisasikan aspirasi C.H.A.S.E City khususnya dalam bidang Healthy City.
“Dalam masa sama, peserta yang terlibat turut menjadi duta kecil dalam memperkenalkan Putrajaya ke peringkat global dengan mempromosikan lokasi rekreasi serta budaya tempatan,” ujar beliau.
Buat mereka yang berminat, sila layari laman sesawang https://red-adventure.com/pipr/ untuk mendaftar. Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi di talian 016-352 3653. – WILAYAHKU
[Iklan]