Berita

Tengku Zafrul tidak setuju berlaku PRK selepas sertai PKR

- Diterbit 9 Jun 2025 6:30 PM MYT

“Saya tidak bersetuju dengan pencetusan Pilihan Raya Kecil (PRK) tanpa keperluan mendesak kerana ia melibatkan masa dan duit rakyat.” Itu penegasan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika mengumumkan keputusan mengejut meninggalkan UMNO dan memohon menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kenyataan itu sekaligus menolak spekulasi liar kononnya permohonan bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu untuk menyertai PKR berkait dengan sebarang rancangan bertanding dalam PRK, sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

“Tiada sebarang perbincangan tentang penyertaan PRK pernah berlaku. Ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini,” kata Tengku Zafrul yang juga penyandang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, keputusannya untuk keluar daripada UMNO dibuat atas kehendak peribadi selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji, dan bukan didorong tekanan mana-mana pihak.

“Saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat dengan cukup mendalam. Ini bukan keputusan yang mudah, namun ia adalah pilihan peribadi saya sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara sehingga tamat penggal pada Disember 2025, manakala isu kedudukannya dalam Kabinet diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri.

“Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat. Selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia menyumbang dalam apa jua kapasiti, bukan semata-mata bergantung kepada jawatan,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi UMNO, sahabat-sahabat dalam Majlis Kerja Tertinggi, serta jentera akar umbi UMNO Bahagian Kota Raja atas sokongan dan kerjasama selama ini.

Tengku Zafrul turut memohon masyarakat menerima keputusannya secara terbuka dan menghormati hak individu dalam sebuah demokrasi.

“Doakan saya terus istiqamah dalam perjuangan, dengan semangat baharu sesudah pulang dari Tanah Suci,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas