Singgah

Temu tiga gua geopark, MTB Park Merinding lokasi pilihan sukan lasak

- Diterbit 7 Januari 2025 4:25 PM MYT

LABUAN yang lebih dikenali sebagai pulau pelabuhan dalam sektor minyak dan gas di rantau ini juga terkenal dengan keindahan alam‚ mempunyai budaya setempat yang unik dan sejarah tersendiri.

Banyak mutiara khazanah alam semula jadi yang tersembunyi meskipun pulau itu hanya berkeluasan 91.64 kilometer (km) persegi.

Pulau ini digazetkan sebagai Geopark pada Disember 2021 oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia yang mana jelas membuktikan bahawa Labuan mempunyai banyak potensi pelancongan yang belum diterokai.

Dengan memiliki khazanah alam yang masih terjaga‚ tidak hairanlah jika Labuan menjadi salah satu lokasi tumpuan para pelancong dalam dan luar terutama pencinta alam semula jadi.

Jika berkunjung ke Labuan dengan rakan untuk melakukan aktiviti riadah atau mendaki sambil menikmati suasana alam semula jadi‚ pastikan anda meluangkan masa untuk berkunjung ke MTB Park‚ Kampung Panchur Hitam yang jaraknya hanya mengambil masa 15 minit dari bandar utama.

MTB Park merupakan salah satu kawasan tumpuan sukan lasak yang diusahakan oleh sekumpulan perintis MTB Park Team yang diketuai oleh Jamil Kario.

Menurut Jamil‚ MTB Park sebelum ini hanya hutan belukar Merinding‚ telah berubah menjadi denai mendaki yang menarik untuk penggemar sukan dan pencari riadah‚ terutama pada cuti umum dan hujung minggu.

Ujarnya‚ untuk menjadikan hutan belukar kepada kawasan riadah bukan mudah‚ namun usaha itu membuahkan hasil menerusi kerjasama yang tidak berbelah bagi oleh ahli-ahlinya yang sentiasa bersemangat untuk menghidupkan semula kawasan yang pernah ditutup tiga tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

“Pasukan MTB Park memulakan usaha untuk mengubah wajah hutan terbiar ini menjadi lokasi wajib dikunjungi bermula Januari tahun 2021 tetapi terhenti beberapa bulan selepas COVID-19 meningkat dengan mendadak.

“Tetapi selepas Labuan melangkah ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan sukan rekreasi diadakan‚ pasukan kami meneruskan usaha untuk menghidupkan semula tempat ini dengan membina semula trek jalanan dan membersihkan semak samun.

“Dan kini‚ hutan belukar Merinding dikenali secara meluas sebagai MTB Park dengan laluan ulang-alik sejauh 6.8km.

“Usaha untuk mengubah landskap hutan belukar Merinding menjadi denai untuk mendaki‚ berlari dan berbasikal dilakukan kerana minat kami dalam sukan lasak.

“Kami gembira dengan pembinaan laluan itu tanpa mengharapkan ganjaran dan hanya menggunakan kaedah manual iaitu cangkul‚ penyodok dan mesin pemotong kayu ‘chain saw’ kini memberi manfaat kepada orang ramai khususnya penduduk Labuan‚” ujarnya ketika ditemui Wilayahku‚ baru-baru ini.

GUA SEBAGAI WARISAN NEGARA

Bercerita dengan lebih lanjut‚ Jamil turut menceritakan pada sekitar Jun 2021‚ pihaknya sedang melakukan pencarian denai baharu memandangkan kawasan itu masih belum diterokai.

Ujarnya‚ setelah penemuan ketiga-tiga gua itu‚ mulanya mereka tidak membuat sebarang hebahan kerana tidak mahu berlakunya sebarang pencerobohan yang boleh membahayakan gua itu yang belum diterokai dan berpotensi untuk dijadikan warisan negara.

“Semasa kajian dijalankan‚ kami menemukan kawasan berongga‚ air terjun dan sejenis buluh jarang dijumpai yang tumbuh berhampiran gua‚” katanya.

Tambahnya‚ gua itu dianggarkan telah wujud sejak Perang Dunia II‚ askar Jepun yang terkorban berkemungkinan menggunakannya sebagai tempat persembunyian.

“Selepas masuk dan mendaki melalui gua pertama‚ kami dapati ia berkeluasan kira-kira 80 kaki (24 meter) panjang dan 40 kaki (12 meter) tinggi.

“Ketiga-tiga gua itu dihuni beribu-ribu kelawar yang bergayut pada bumbung gua dan sebaik sahaja memasuki ke dalamnya‚ anda perlu meranduk air setinggi beberapa kaki air‚” ujarnya.

Sementara itu‚ Ketua Kampung Pohon Batu‚ Haryadi Omar menyifatkan penemuan khazanah alam yang bernilai itu memberikan kelebihan kepada pulau itu.

Ujarnya‚ dia telah berbincang dengan pihak Perbadanan Labuan untuk mengadakan mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemandu Geopark Kebangsaan mengenai kemungkinan mengiktiraf gua itu sebagai tapak geopark kebangsaan.

“Kita ucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan MTB Park yang telah menemu dan mengusahakan Bukit Merinding ini sebagai satu kawasan sukan ekstrem dan lasak.

“Saya yakin dengan penemuan gua geopark ini akan memberikan satu kelebihan bukan sahaja kepada penduduk malahan menjadi salah satu produk pelancongan yang boleh dipromosikan seterusnya dapat meningkatkan kunjungan pelancong ke Labuan‚” ujarnya. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas