LABUAN yang dikenali sebagai pusat kewangan pesisir pantai serta industri minyak dan gas merupakan sebuah pulau pengeluar kelapa pada era pentadbiran British ketika dahulu.
Tidak dinafikan Labuan sememangnya kaya dengan sumber alam semula jadi dan sehingga kini penanaman pokok kelapa di sekitar pulau ini masih banyak.
Berdasarkan kepada sejarah dan kelebihan yang dimiliki Labuan, pasangan suami isteri, Abd Ghani Nikman, 48, dan Khatijah Aziz, 50, dari Kampung Tanjung Aru mengambil peluang mengusahakan perusahaan kraftangan berasaskan tempurung kelapa untuk dijadikan kraftangan sebagai simbolik kepada pulau ini.
Bermula dengan hobi, pemilik perusahaan Teratak Hijau Kraft itu mengambil keputusan menjalankan perniagaan hasil seni kraftangan daripada tempurung kelapa.
Abd Ghani yang lebih mesra disapa Wak Ghani berkata idea untuk menghasilkan kraftangan itu datang daripada isteri yang memintanya untuk menghasilkan acuan cendol menggunakan tempurung kelapa.
Katanya pada masa itu dia hanya membuatnya sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang namun dia tidak menyangka hasil seni tangannya mendapat daripada pelanggan.
“Sebelum ini saya terlibat dalam bidang pertukangan. Untuk kraftangan ini, saya mula aktif pertengahan tahun lepas.
“Ketika itu isteri saya menerima tempahan daripada rakannya yang mahu mendapatkan produk kraftangan pasu bunga dengan menggunakan tempurung kelapa.
“Alhamdulillah sambutan untuk produk pasu bunga itu amat menggalakkan dan saya dan isteri tidak menyangka produk kraftangan menggunakan tempurung kelapa ini mendapat sambutan seperti ini,” katanya.
Jelas Abd Ghani dengan perusahaan ini, bukan sahaja dapat memenuhi hobinya dan isteri malah memberikan pendapatan tambahan kepada keluarga.
“Niat asal kami hanya untuk mempamerkan produk kraftangan semasa lawatan rasmi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah
ke Labuan pada hujung tahun lalu, bukan untuk jualan.
“Bermula dari situ, kami berdua nekad untuk menjalankan perusahaan ini dengan lebih serius kerana kami melihat peluang dalam kraftangan ini sememangnya ada dan harus dimanfaatkan,” jelas beliau yang telah menghasilkan lebih 30 jenis kraftangan berasaskan tempurung kelapa.
Antara kraftangan yang beliau hasilkan ialah replika pokok kelapa yang menjadi simbolik kepada Labuan, semut, burung hantu, pasu bunga, acuan tepung cendol dan tabung.
Abd Ghani berkata pihaknya turut mendapat tawaran membekalkan produk kraftangan kepada agensi kerajaan seperti Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Kami amat bersyukur dengan sokongan dan dorongan yang diberikan oleh agensi kerajaan di sini yang sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada kami mengembangkan lagi perusahaan ini,” katanya.
Tambahnya untuk menghasilkan kraftangan yang elok dan tidak mudah rosak, beliau akan memastikan tempurung kelapa yang menjadi bahan asas berada dalam keadaan baik serta tidak mudah rapuh untuk memudahkan ia dibentuk.
“Saya akan melukis bentuk yang diinginkan terlebih dahulu di atas kertas sebelum ditekap di atas permukaan tempurung kelapa. Kemudian, ia akan dicanai mengikut bentuk yang diperlukan dan diakhiri dengan cat untuk mengelakkan lusuh.
“Dari segi pemilihan tempurung kelapa, saya lebih gemar menggunakan kelapa pandan yang mana struktur tempurungnya lebih sesuai digunakan untuk menghasilkan reka bentuk yang sulit,” katanya. – WILAYAHKU
Maklumat perusahaan:
Teratak Hijau Kraft
Simpang Pelangi, Kampung Tanjung Aru, Labuan.
Sebarang tempahan boleh hubungi: 014-2293469