Berita

Tempoh pemulihan Faisal Halim belum diketahui

- Diterbit 15 Mei 2024 2:01 PM MYT

PEMAIN Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim masih memerlukan pemantauan rapi meskipun telah dipindahkan ke wad biasa semalam selepas kira-kira sembilan hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) susulan insiden disimbah asid baru-baru ini.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, proses rawatan yang diberikan kepada pemain sayap Harimau Malaya itu mengambil masa panjang dan beliau kini menunjukkan perkembangan positif.

“Saya ada ziarah keluarga beliau semalam. Alhamdulillah, semangat keluarga beliau baik dan dari segi proses rawatan sedang diberikan kepada Faisal Halim, ia ambil masa yang panjang.

“Cuma setiap yang terbaik sudah diberikan dari sudut perubatan dan sokongan, bukan sahaja kepada Faisal tetapi juga keluarga beliau. Beri ruang kepada saudara Faisal untuk pulih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Hari Belia Negara @ Kementerian Belia dan Sukan (HBN@KBS) 2024 hari ini.

Dalam masa sama, Adam Adli berkata Faisal Halim kini dalam proses rawatan yang cukup sensitif dan semua pihak diminta untuk tidak mengganggu emosi beliau.

“Pihak keluarga sebelum ini ada memaklumkan bahawa dia kini boleh berjalan dan makan sedikit, tetapi tumpuan ketika ini adalah pemulihan sepenuhnya. Dia keluar dari ICU. Belum tentu boleh keluar hospital dan masih memerlukan rawatan dan tumpuan rapi. Bagi ruang kepada Faisal untuk pulih sepenuhnya,” ujarnya.

Terdahulu, Faisal Halim dilaporkan berkemungkinan dibenarkan pulang dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi selepas keadaan kesihatannya bertambah baik.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata doktor masih memantau tahap pemulihannya dan hanya doktor pakar di hospital yang boleh memberikan jawapan sebenar mengenai tempoh masa tersebut.

Pemain yang memenangi Anugerah Gol Terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima hingga enam bulan sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Sementara itu, mengenai Semarak HBN @ KBS 2024 hari ini, Adam Adli berkata program tersebut dianjurkan bersama dengan Konvensyen Belia Integriti Nasional khusus untuk mempertingkatkan nilai integriti dalam kalangan belia.

“Belia perlu ada integriti iaitu harga diri dan maruah yang kuat supaya kita dapat muncul sebagai bangsa yang tidak kalah dan tahan cabaran,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas