SEMUA tempahan reruai menerusi aplikasi penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 dibatalkan berkuat kuasa 3 Januari.
Menurut Jawatankuasa Khas Penawaran Reruai (JKPR) PBAKL 2025, ia diputuskan selepas tempahan yang dibuka bermula 26 Disember lalu itu mengalami gangguan teknikal di luar jangka, iaitu serangan BOT serta berlaku pertindihan tempahan reruai.
“Pihak jawatankuasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur – Sistem Tempahan Automasi Reruai (PBAKL-STAR) amat kesal atas kesulitan yang dihadapi oleh kesemua syarikat yang terbabit.
“JKPR PBAKL 2025 kekal komited untuk memastikan kelancaran persiapan PBAKL 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, JKPR PBAKL 2025 memaklumkan tempahan akan dibuka semula dengan beberapa penambahbaikan dan pembaharuan iaitu terhadap sistem tempahan reruai dengan memberikan penekanan kepada ciri-ciri keselamatan, peluasan jalur lebar ‘bandwidth’ dan server khusus.
“Penambahbaikan lain adalah penyusunan semula reruai dan pembukaan dewan baharu bagi memenuhi permintaan reruai yang tinggi.
“Di samping itu, pihak syarikat yang sudah mendapat reruai dan membuat pembayaran boleh memohon pemulangan wang yang dibayar atau syarikat boleh menggunakan bayaran yang sudah dibuat bagi tempahan semula reruai,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu butiran lanjut mengenai tempahan semula reruai juga akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Seiring dengan cabaran dan perkembangan masa kini, langkah kita melaksanakan peralihan digital pastinya disulami dengan pelbagai cabaran.
“Kami amat menghargai setiap cadangan, pandangan dan sokongan yang diberikan oleh setiap pemegang taruh dalam persiapan PBAKL 2025.
“Maklum balas ini adalah asas penting dalam memastikan acara ini terus berkembang dan memenuhi keperluan industri serta masyarakat demi memperkasakan industri perbukuan Malaysia serta memperkukuh daya saing PBAKL di peringkat global,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]