Berita

Telusuri warisan melalui seni kontemporari

- Diterbit 18 Februari 2025 7:40 PM MYT

DALAM usaha memastikan bahawa warisan budaya dapat diteruskan kepada geenrasi akan datang, sebuah Pameran Mengenang Asal Usul: Menyingkap Naratif Budaya diadakan bertempat di Jabatan Muzium Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, Mohamad Shawali Badi, pameran tersebut menampilkan karya 18 pelajar tahun akhir Jabatan Seni Reka Tekstil, yang menggabungkan kajian visual dan ekspresi artistik berdasarkan artifak serta motif tradisional Melayu.

“Pameran ini mengetengahkan empat produk utama: batik, tekstil cetakan digital, Abaya kreatif dan papan naratif yang mencerminkan inovasi dalam seni tekstil.

“Saya yakin pameran ini bukan hanya sekadar pameran visual tetapi ia juga sebuah perjalanan mendalam
ke dalam naratif budaya kita seterusnya dapat menyelami nilai-nilai murni yang terkandung dalam budaya kita, mengenali cerita-cerita yang menjadi tonggak kekuatan dan keutuhan bangsa, serta menghargai kepelbagaian yang ada dalam kehidupan kita.

“Pameran ini adalah satu usaha yang amat penting dalam memastikan bahawa warisan budaya kita tidak hanya dipelihara, tetapi juga diteruskan kepada generasi akan datang,” katanya.

SEKITAR Majlis Perasmian Pameran Mengenang Asal Usul: Menyingkap Naratif Budaya yang diadakan di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara.

Jelasnya Pameran Mengenang Asal Usul: Menyingkap Naratif Budaya ini mengadaptasi motif warisan ke dalam konteks moden, pameran ini mengukuhkan kepentingan pemeliharaan budaya melalui penyelidikan berasaskan artifak.

“Kolaboratif ini membuktikan bagaimana warisan tekstil boleh berkembang dalam dunia kontemporari, sekali gus menjadi platform untuk dialog antara tradisi dan inovasi,” ujarnya.

Mohamad Shawali berkata, kolaboratif antara Kolej Seni Kreatif UiTM dan Jabatan Muzium Malaysia menegaskan peranan penting pendidikan dalam menanam kefahaman yang lebih mendalam terhadap warisan budaya.

“Dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk menjalankan penyelidikan berasaskan artifak dan menerapkan penemuan mereka ke dalam reka bentuk tekstil kontemporari, inisiatif ini membuka jalan untuk generasi akan datang meneruskan usaha penting ini.

“Sebagai mahasiswa, penganjuran pameran ini bukan sahaja platform untuk menonjolkan hasil kerja anda, tetapi juga pengalaman yang akan memberi impak besar terhadap perkembangan profesionalisme anda pada masa hadapan. Setiap langkah yang diambil dalam menjayakan pameran ini adalah pembelajaran yang akan berguna dalam kehidupan akademik dan kerjaya anda kelak.

“Diharapkan pameran ini dapat memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai dan memelihara seni dan warisan budaya kita. Semoga karyakarya ini tidak hanya berhenti di sini tetapi terus menginspirasi lebih ramai individu dalam bidang seni dan reka bentuk di masa hadapan,” katanya.

Jabatan Muzium Malaysia melalui Muzium Tekstil Negara, dengan kerjasama Kolej Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, mempersembahkan Pameran Mengenang Asal Usul: Menyingkap Naratif Budaya dari 17 Februari hingga 16 April 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas