SEJAK penubuhannya lebih 30 tahun lalu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional gigih menabur bakti dengan memperbanyakkan golongan peniaga kecil yang memerlukan pembiayaan sebagai usaha untuk mengubah kehidupan mereka.
Selari dengan Agenda Ekonomi MADANI dan menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekadkan menoktahkan kemiskinan, acuan yang telah diletakkan berupaya membantu kumpulan sasar untuk dibentuk sebagai usahawan kecil dan kemudian digilap untuk menjadi lebih berjaya di masa akan datang.
Menerusi rekod yang ada, TEKUN telah berjaya membentuk kumpulan jutawan yang akhirnya bersedia untuk membantu usahawan yang lain.
Namun sebagai sebuah agensi, ia tidak terlepas daripada isu hutang lapuk yang membelenggu sejak sekian lama. Berbekalkan cita-cita serta strategi ampuh, Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendedahkan kepada Wartawan Kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY; juruvideo, AMINULLAH FARIJ HASSAN dan jurufoto, SHUAIB AYOB sasaran untuk mengurangkan masalah berkenaan hingga menjadi satu digit sahaja di pejabatnya baru-baru ini.
Dalam tempoh setahun menjadi Pengerusi TEKUN, apakah masalah yang Datuk lihat dan usaha untuk mengatasi?
Sejak menjadi Pengerusi dan berpeluang untuk melihat dan meneliti setiap aspek agensi ini, ada banyak kelompongan dari segi pembiayaan dan bagaimana untuk membantu mereka yang hendak mula berniaga tanpa ada masalah birokrasi, yang kedua untuk meningkatkan pendapatan dan menyeragamkan kekuatan dalaman dan luaran agensi.
Saya mengambil pendekatan bahawa sesuatu itu mestilah bergerak secara dalaman dan ia telahpun dilunaskan mengikut jadual dan golongan peniaga kecil disantuni di setiap daerah melibatkan222 kawasan Parlimen dan Pejabat Cawangan TEKUN sebanyak 174.
Bagaimana TEKUN dapat membantu golongan peniaga kecil yang bertambah khususnya selepas COVID-19 dan hingga kini?
Sebelum ini terdapat 17 syarat sebelum permohonan pembiayaan diluluskan tetapi kita telah minimumkan menjadi empat syarat sahaja sebagai usaha untuk memudahkan urusan tersebut. Ia akan meletihkan sekiranya banyak syarat yang dikenakan.
Jika dilihat belum ada sejarah kita memberikan pembiayaan sebanyak RM1.1 bilion dan tahun 2023 selepas saya masuk, ia bertambah dengan drastik dan merupakan petanda bahawa petunjuk prestasi utama (KPI) TEKUN untuk memberikan pembiayaan secara menyeluruh kepada golongan yang perlu dibantu.
Menerusi rekod dari Januari sehingga April, kita telah menyalurkan dana RM800 juta dan ia menuju sasaran yang ditetapkan serta boleh diterjemahkan sebagai kesungguhan TEKUN untuk membantu masyarakat Bumiputera dan kaum India untuk melebarkan lagi perniagaan dan meningkatkan pendapatan masing-masing.
Bagaimana TEKUN menguruskan masalah hutang lapuk peminjam?
Hutang lapuk atau paras hutang tidak berbayar (NPL) yang direkodkan adalah RM380 juta bersamaan 12.7 peratus. Disebabkan oleh penyalahgunaan kuasa ketika pembiayaan itu diberikan sebelum ini dan kita tahu jumlah keseluruhan pinjaman melepasi NPL sudah menjangkau RM1.1bilion.
Lanjutan itu, kita sedang berusaha untuk mengutip semula pinjaman dan yakin dapat mengatasi masalah tersebut menerusi yang masih disimpan dan ia dapat membantu kita untuk mengutip balik pinjaman.
Pendekatan yang drastik telah diambil dan dari bulan Januari 2024 sahaja, kita telah melepasi jumlah kutipan melebihi RM37 juta daripada jumlah asal iaitu RM137 juta, bulan Februari TEKUN berjaya mengutip RM22 juta pada tahun 2023. Begitu juga dengan Mac dan April yang kebetulan Ramadan menyaksikan perbezaan RM6 juta tetapi pada April telah meningkat semula kepada RM22 juta.
Kesungguhan pegawai dan kakitangan TEKUN cukup luar biasa dan kita turut mensasarkan kadar NPL mestilah dikurangkan peratusnya kepada satu digit sahaja.
Jika dahulu ada dakwaan TEKUN dijadikan alat politik untuk membiayai aktiviti penggerak politik di peringkat bawahan, adakah ia masih begitu?
Saya ada bukti untuk mengesahkan perkara itu berlaku, tetapi apabila memegang jawatan ini, saya tidak akan benarkan sesiapun yang menyalahgunakan kedudukan mereka dan tidak akan melayan mana-mana kumpulan yang cuba menggunakan platform politik untuk mempengaruhi saya dalam memberikan wang kepada mana-mana pihak tanpa mengira dasar yang telah disediakan.
Sekiranya layak, maka permohonan itu mestilah diproses dan pembiayaan akan disalurkan. Sekiranya tidak layak, walaupun disokong oleh siapapun, mereka tidak akan diberikan keistimewaan itu. Itulah prinsip yang dipegang dan ia berterusan sehinggalah khidmat saya ditamatkan.
Selain daripada pembiayaan perniagaan, apa lagi bentuk bantuan untuk usahawan kredit mikro ini?
TEKUN telah melahirkan ribuan jutawan dan sejak ia ditubuhkan pada 9 November 1998, kita telah memberikan pembiayaan kepada 580,000 usahawan dan setelah mereka nampak berjaya, cekap dan komited, maka TEKUN akan membuat pengesyoran dan sokongan dalam bentuk geran yang dipelopori oleh SME Corp, SME Bank dan Bank Rakyat. Dari situ ia akan diberikan peluang kepada usahawan untuk mendapatkan barangan yang mereka perlukan.
Ada perusahaan dodol di Melaka memerlukan mesin bernilai RM520,000 yang mampu menghasilkan ribuan paket sehari. TEKUN akan membantu usahawan seperti itu untuk mendapat geran untuk terus berjaya.
Keduanya, kita turut berikan kredit untuk memasarkan produk mereka dan untuk sijil halal, kita akan berusaha dan pastikan pengusaha memohon kerana memudahkan ia dijual di luar negara. Pemantauan berterusan juga dilakukan oleh pegawai-pegawai TEKUN di setiap daerah melalui 174 cawangan bagi mengenal pasti masalah sekiranya ada usahawan yang bermasalah untuk berkembang.
Adakah usahawan selain daripada sektor makanan yang memperolehi pembiayaan TEKUN?
Bukan sahaja dalam sektor makanan, bahkan ada dari sektor pembuatan, pertanian, penternakan malah pembinaan dan ia dibenarkan untuk mendapatkan pembiayaan termasuklah jenis mobile iaitu usahawan e-hailing dan penghantar makanan yang TEKUN bantu dengan memberikan motosikal dengan jumlah RM5,000 dan ke bawah seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Kita juga telah memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar universiti malah pegawai TEKUN turut ke kampus-kampus untuk memberikan taklimat kepada mereka dan menggalakkan mereka berniaga.
TEKUN turut memberikan peluang kedua kepada banduan-banduan yang baru dibebaskan itu untuk memulakan kehidupan baharu dengan berniaga. Begitu juga dengan veteran tentera, suri rumah dan usahawan dalam talian.
Kita juga telah membantu seorang pengusaha bengkel motosikal di Kamunting bernama Fendi yang memohon pembiayaan TEKUN sebanyak tiga kali untuk membesarkan lagi bengkelnya dan sekarang ini telah mempunyai 11 orang mekanik dan pendapatan sebulan minimum RM1.5 juta.
Datuk ada sebutkan pembiayaan ini diberikan kepada bekas banduan, adakah individu yang disenarai hitam dan muflis, berpeluang mendapat bantuan TEKUN?
Dalam syarat TEKUN ini memang tidak boleh muflis, seperti yang diumum oleh Perdana Menteri untuk menghapuskan status muflis itu. Jika di dalam sistem sudah nyah hapus status muflis mereka boleh mohon pinjaman. Jika disenarai hitam CTOS atau CCRIS itu, kita masih boleh bantu dan rangkakan penyelesaian. Namun jika sudah disenarai hitam dan sengaja enggan membayar pinjaman terdahulu, itu memang kita tidak benarkan kerana risiko tidak bayar pinjaman TEKUN itu tinggi.
Kita juga mendapati kebanyakan individu ini, apabila memohon pinjaman, ia tidak gunakan untuk berniaga, bahkan untuk melepaskan kesempitan kewangan pada ketika itu sahaja. Itu juga kita berhati-hati kerana TEKUN tidak boleh mengizinkan individu mengambil peluang ini untuk menyelesaikan masalah sementara. Kita juga tidak boleh cemarkan imej TEKUN ini dan dilihat seperti ceti.
Apakah aspirasi Datuk selaku pengerusi untuk mengemudi TEKUN untuk 10 tahun ke hadapan?
Setakat ini kita telah menerima 18 anugerah di peringkat antarabangsa yang telah mengiktiraf peranan dan tugas yang dimainkan oleh TEKUN dan berjaya menjadi contoh kepada negara-negara membangun yang lain. Baru-baru ini juga kita telah ke Kemboja untuk menerima anugerah agensi pembiayaan terbaik di Asean.
Seperti mana yang dirungkai dalam objektif penubuhan, aspirasi untuk menoktahkan kemiskinan ini benar-benar berjaya dilaksanakan dan kita buka ruang itu kepada golongan yang memerlukan. Contohnya menerusi Tekun Teman Niaga, ia tidak memerlukan dokumen sebaliknya komitmen lima orang berkumpulan dengan dana awal RM5,000. Dari situlah saya dapat lihat banyak manfaat dan kita boleh laksanakan dasar membasmi kemiskinan itu.
Untuk 10 tahun akan datang, saya mahu lihat agensi ini terus berdiri megah sebagai agensi pemangkin kepada rakyat untuk keluar daripada kemiskinan. – WILAYAHKU