Berita

Tekanan ekonomi punca DBKL bentang belanjawan defisit tiga tahun berturut-turut

DEMI kesejahteraan warga kota, pemberian insentif kepada warga kota yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19 turut menjadi punca kekurangan hasil DBKL
- Diterbit 23 Mac 2022 5:04 AM MYT

TEKANAN ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan pengurangan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan merupakan penyebab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membentangkan belanjawan defisit pada tahun 2019, 2021 dan 2022, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau memberitahu, demi kesejahteraan warga kota, pemberian insentif kepada warga kota yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19 turut menjadi punca kekurangan hasil DBKL.

“Ini ialah kesan seluruh negara bahkan seluruh dunia dimana semua pihak mendapat tekananan kerana COVID-19.

“Kita sedia maklum bahawa hampir dua tahun tiada aktiviti ekonomi boleh dilaksanakaan dan baru-baru ini kerajaan telah membuka semula sektor ekonomi, kita lihat ada pergerakan yang cukup baik dan semua perniagaan peringkat skala kecil dan besar telah mula berjalan dan ini akan membolehkan cukai taksiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Datuk Mohd Hisamuddin Yahya di Dewan Negara di sini hari ini.

Shahidan berkata, sumber pendapatan utama DBKL adalah hasil taksiran dan dijangkakan apabila ekonomi bertambah baik, pendapatan melalui cukai taksiran dan caj pembangunan akan turut meningkat.

“Ketika ini sumber pendapatan melalui pembayaran sewa hampir mencecah RM100juta. Dengan pembinaan perumahan Council Home akan meningkatkan lagi pendapatan sewa,” katanya.

Menurut beliau, DBKL pernah mendapatkan peruntukan yang besar daripada Kementerian Kewangan untuk peruntukan mengurus dan pembangunan.

“Sebagai contoh, Kerajaan pusat pernah memberikan peruntukan mengurus B32 yang tinggi pada 2014 berjumlah RM130juta dan semakin berkurangan setiap tahun dimana tiada peruntukan diterima pada 2019 dan hanya menerima RM2juta pada tahun 2021,” katanya.

Ujarnya, pada masa ini, DBKL terpaksa menggunakan rizab untuk menampung kekurangan peruntukan yang diterima oleh kerana tekanan ekonomi dan juga sumbangan Kerajaan Persekutuan.

“DBKL sentiasa melaksanakan perbelanjaan berhemah dan value for money dengan meneruskan projek-projek yang mengutamakan kesejahteraan warga kota.

“Usaha-usaha untuk meningkatkan kutipan hasil terus dilaksanakan bagi menangani belanjawan defisit di masa akan datang,” katanya. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas