Oleh DEEL ANJER
PEMENTASAN Teater Dang Anum terbitan Persatuan Seni & Budaya Redholah (The Redholah) di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan sekali gus ditawarkan untuk mengadakan jerayawara (roadshow) ke beberapa negeri dan luar negara.
Penerbit dan pengarah, Amirul Haswendy Ashari berkata tawaran itu muncul dari dalam kalangan peminat teater yang menghubungi The Redholah dan menyatakan minat untuk membawa naskhah tersebut ke beberapa lokasi terpilih.

“Ketika mendapat tahu mengenai tawaran itu, pihak persatuan agak terkejut dan terasa seperti mimpi namun bersyukur pihak tersebut menawarkan kerjasama dan tajaan untuk membawa Teater Dang Anum ke beberapa negeri di Semenanjung.
“Lebih mengejutkan, pihak yang membuat tawaran itu mahu naskhah ini turut dipentaskan di Batam dan Riau, Indonesia. Sememangnya naskhah ini sangat dekat dengan masyarakat terutama bangsa Melayu yang tinggal di beberapa kepulauan Melayu di Batam dan Riau,” ujarnya yang belum bersedia untuk mendedahkan pihak tersebut kerana mereka masih dalam proses perbincangan.
Amirul turut berterima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana sokongan yang diberikan terutama dari segi lokasi pementasan.
“Ia tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sokongan DBKL. Hasil daripada jualan pas masuk disalurkan kepada akaun Cinta Gaza Malaysia bagi membantu rakyat Palestin yang sedang dalam kesusahan,” ujarnya.
Teater Dang Anum adalah projek teater pertama The Redholah di bawah Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kolej Seni Kreatif, Pengajian Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Teater Dang Anum yang mula dipentaskan pada Sabtu dan Ahad minggu lalu, berjaya menarik hampir 500 penonton. Ia menampilkan Ain Sufia sebagai Dang Anum; Azizul Ammar sebagai Megat Seri Rama/Laksamana Bentan; Along Eyzendy sebagai Sultan Mahmud dan Adam Shahz sebagai Tun Beja Ali.

Selain itu, pementasan ini turut menampilkan pelakon teater berpengalaman seperti Md Hussin, Azhar Jalil, AG Hafiz, Shareezwan, Myza Alid, Eyza Shariff, Affan Mohd dan ramai lagi.
Untuk perkembangan lanjut mengenai aktiviti persatuan, boleh layari laman sosial Instagram, Facebook dan TikTok The Redholah atau menghubungi talian 014-368 5233 atau e-mel ke [email protected]. – WILAYAHKU