JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini menguatkuasakan tiga standard mandatori bagi memastikan kenderaan perdagangan hanya menggunakan tayar celup yang mematuhi standard ditetapkan.
Kementerian Pengangkutan (MoT) memberitahu, berdasarkan kepada ketetapan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, tayar celup yang mempunyai persijilan pematuhan standard mandatori sahaja dibenar untuk digunakan oleh kenderaan di jalan raya.
Menurutnya, tiga standard tersebut adalah Malaysian Standard (MS) 224: Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle; Peraturan United Nation (UN) R108: Retreaded Pneumatic Tyres; dan Peraturan UN R109: Retreaded Pneumatic Tyres for Commercial Vehicles.
“Penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi standard mandatori adalah tidak dibenarkan di kalangan pengguna jalan raya kerana ciri-ciri pembinaannya tidak ditentusahkan dan aktiviti pengujian tayar tersebut tidak dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan mengenai mekanisme kawal selia tayar celup yang digunakan kenderaan perdagangan dalam mengurangkan kemalangan akibat cebisan tayar atau road gator (buaya jalan) atas jalan raya yang boleh menyebabkan kerosakan serius hingga ada yang meragut nyawa.
Tayar celup merupakan tayar terpakai yang telah dibaik pulih menerusi proses penambahan, penggantian dan pemulihan terhadap lapisan bunga tayar tanpa mengganggu struktur asal tayar tersebut supaya dapat digunakan semula.
MoT menambah, tayar celup yang mematuhi standard adalah tayar yang telah diuji dari aspek ketahanan dan prestasi penggunaan di mana ia telah terbukti selamat untuk digunakan di atas jalan raya.
Katanya, penentusahkan terhadap ciri-ciri pembinaan dan aktiviti pengujian terhadap sesebuah tayar amat penting untuk dilaksanakan berdasarkan kepada piawaian atau standard yang dikuatkuasakan.
“Ia bagi mengurangkan risiko kegagalan tayar khususnya berkaitan dengan tayar kenderaan yang meletup dan boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya.
“Sehubungan itu JPJ akan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan melalui penguatkuasaan di jalan raya atau melalui pemeriksaan berkala di PUSPAKOM bagi memastikan kenderaan perdagangan sentiasa menggunakan tayar yang mematuhi standard mandatori ditetapkan,” katanya. – WILAYAHKU