Artikel

Tatacara baru dunia

ANWAR pada Majlis Perhimpunan Pembebasan Palestin baru-baru ini
- Diterbit 9 Ogos 2024 3:20 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

KETIKA Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memimpin tatacara dunia baharu, ramai yang yang mengambil sikap sinis dengan cadangan itu.

Bahkan ada yang mentertawakannya, kononnya siapalah Anwar dan Malaysia untuk menyusun tatacara dunia bagi melawan Israel itu.

Ada juga yang beranggapan permintaan Mohamad Sabu kepada PMX untuk menggunakan pengaruhnya dalam kalangan pemimpin dunia itu tidak logik bahkan ada yang beranggapan sebagai lucu.

Bahkan yang lebih teruk lagi, Mohamad dianggap cuba mengampu PM  Anwar ketika membuat cadangan di Majlis Perhimpunan Pembebasan Palestin itu.

“Wahai Perdana Menteri yang ku kasihi. Namamu begitu harum di seluruh dunia, kamu berupaya membuat satu tatacara baharu di dunia.

“Rapatlah dengan negara-negara Islam yang iktiraf Israel tapi ajak mereka putus hubungan dengan Israel,” kata Mohamad ketika membuat saranan di depan Anwar sendiri.

Menurut Mohamad, Anwar mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian apabila berjaya memulihkan ekonomi Malaysia tidak sampai dua tahun.

“Bantulah negara-negara yang bermusuh dengan Israel. Sebarang tindakan dari Israel jangan bimbang kerana Malaysia menerima sokongan daripada rakyat Eropah,” katanya lagi merujuk kepada sokongan pelajar universiti di Eropah dan Amerika kepada Palestin.

Bagi saya, anggapan negatif yang dikemukakan itu berpunca daripada kenaifan mereka sendiri tentang dunia Islam dan tidak mengenali siapa sebenarnya Anwar dan Mohamad Sabu.

Anwar adalah bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Melalui ABIM, Anwar sangat rapat dengan pemimpin dunia Islam yang kini ramai antara mereka memimpin negara masing-masing.

Kelebihan Anwar juga, apabila beliau menjadi timbalan perdana menteri sebelum ini, beliau berjaya merapatkan dirinya dengan pemimpin antarabangsa dari dunia barat dan juga timur.

Mohamad Sabu pula sebelum ini adalah Timbalan Presiden PAS. Sebagai pemimpin kanan PAS, beliau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kumpulan pejuang Islam di serata dunia.

Hamas, Hisbullah, Ikhwanul Muslimin bahkan para pemimpin Islam di Turki, Pakistan, Indonesia dan lain-lain mempunyai hubungan rapat dengan Mohamad. Beliau sering menyertai perhimpunan antarabangsa dan berjumpa dengan pemimpin Islam dari seluruh dunia.

Mohamad tahu dan kenal benar siapa Anwar dan siapa rakan-rakan Anwar di peringkat antarabangsa. Mohamad mungkin rapat dengan pemimpin gerakan Islam tetapi tidak rapat dengan pemimpin nasionalis dari dunia Islam dan juga barat sebagaimana Anwar.

Ketika seorang aktivis Palestin dari Malaysia, Nadir Al-Nuri meminta bantuan Anwar untuk membawa balik anak dan isterinya yang terperangkap di Gaza, semua bahkan Nadir sendiri tidak yakin ia akan berjaya.

Tetapi, melalui hubungan baik yang beliau bina dengan Presiden Mesir, Abdel-Fattah Al-Sisi, isteri dan anak-anak kepada Nadir berjaya dibawa pulang dengan selamat.

Ramai mungkin terperanjat bagaimana Anwar boleh rapat dengan Al-Sisi sedangkan Presiden Mesir itu mempunyai sejarah hitam dengan tokoh perjuangan Islam iaitu Presiden Mohamed Morsi yang digulingkan Al- Sisi.

Tetapi itulah kelebihan dan kemampuan serta visi politik Anwar. Beliau berjaya merapatkan diri dengan kerajaan Mesir yang bersempadan dengan Gaza itu.

Tentu ramai juga masih ingat, bagaimana Anwar membasuh Canselor Jerman dalam sidang media bersama mereka sebelum ini.

Ekoran dari itu, Jerman dilihat mengambil sikap yang lebih lunak dengan mangsa keganasan di Gaza apabila negara itu menghantar bantuan makanan dan ubatan untuk mereka.

Masalah besar di dunia Islam sekarang adalah kegagalan mereka untuk bersatu melawan Israel. Padahal, jika semua pemimpin Islam bersatu dan kalau setiap umat Islam bersatu melawan Israel, ada yang berkata, dengan meludah sahaja, Israel boleh hanyut kerananya.

Tetapi, itu lah yang berlaku kepada dunia Islam sekarang. Mereka tidak bersatu.

Ketika Iran cuba untuk melancarkan roket-roket ke Israel sebelum ini, semua tahu Jordan telah menembak jatuh sebahagian dari roket yang cuba melintas ruang udaranya itu.

Baru-baru ini pula, kumpulan Houthi di Yaman memberikan amaran kepada Arab Saudi pula.

Ini berikutan sikap yang diambil Arab Saudi untuk menyekat atau menembak jatuh roket-roket yang hendak dilancarkan kumpulan Ansarallah Yaman yang dilabelkan oleh pihak Barat sebagai Houthi itu, ke Israel.

“Orang Amerika sedang cuba memerangkap kamu (Arab Saudi), dan jika kamu mahukannya, maka cubalah. Jika kamu mahu kebaikan untuk diri sendiri dan kestabilan untuk negara dan ekonomi kamu, hentikan konspirasi kamu terhadap negara kami,” kata pemimpin Ansarallah Yaman, Abdul Malik al-Houthi.

Sebagaimana diketahui, Mohamad tidak keseorangan ketika membuat cadangan kepada PM Anwar itu.

Timbalan beliau, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berharap agar gesaan Mohamad diambil serius oleh rakyat Malaysia dengan terus memberi sokongan kepada kemampuan Perdana Menteri untuk memainkan peranan itu.

“Malaysia boleh bergabung dengan negara-negara lain di dunia dalam isu Palestin sebagai platform memperjuangkan hak asasi manusia khususnya di Gaza dan Rafah demi menghentikan kebinatangan rejim zionis Israel,” katanya dalam satu kenyataan bagi menyokong saranan Mohamad.

Jadi, kita semua perlu memberikan sokongan penuh dan keyakinan kepada PM Anwar untuk melaksanakan projek yang sukar dan penuh cabaran ini.

Dan ingatlah, Allah bertanya kepada kita apa yang kita buat bukan apa kejayaan kita hasil perbuatan itu.

PENULIS adalah wartawan yang memerhati dan menganalisa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas