Berita

Tarif timbal balik AS: Teliti semula strategi operasi

- Diterbit 7 Mei 2025 2:33 PM MYT

PENGGUNA harus bersedia untuk berbelanja secara lebih berhemah dan menyokong produk tempatan sebagai satu bentuk solidariti ekonomi.

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata dalam masa yang sama, sektor perniagaan pula perlu mengkaji semula strategi operasi mereka.

Ini katanya termasuk menilai kos pengeluaran dan meningkatkan nilai tambah kepada produk agar tidak terlalu terdedah kepada perubahan pasaran antarabangsa.

“DPIM menyeru agar lebih banyak perniagaan melabur dalam automasi dan digitalisasi untuk meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran eksport tunggal,” jelas beliau kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut tentang kenaikan tarif import oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia, Mohammad Sahar berkata, rakyat dan pengguna pastinya khuatir jika kesan tarif ini mendorong kepada peningkatan harga barangan atau gangguan kepada rantaian bekalan.

MOHAMMAD SAHAR

“DPIM berpandangan bahawa ketelusan maklumat sangat penting dalam meredakan keresahan. Kerajaan perlu memperkukuh komunikasi berkenaan situasi sebenar dan langkah-langkah mitigasi yang sedang diambil.

“Antara cadangan kami ialah menubuhkan sebuah pasukan khas yang melibatkan wakil industri, badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi dan agensi kerajaan bagi memantau kesan tarif ini secara berterusan serta mengemukakan penyelesaian bersasar,” jelas beliau.

Tambah beliau dari sudut pandang DPIM, kenaikan tarif import ini adalah satu langkah yang membimbangkan kerana ia berpotensi menjejaskan daya saing eksport negara, khususnya bagi sektor-sektor tertentu seperti elektronik, getah dan minyak sawit.

“Ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pemain industri, malah turut memberi kesan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam rantaian bekalan eksport.

“Namun begitu, Malaysia mempunyai pelbagai alternatif pasaran dan rakan dagang strategik lain seperti China, Timur Tengah, dan negara-negara ASEAN sendiri,” katanya.

Tegas beliau dalam hal ini, DPIM menyeru agar pemain industri mempergiatkan usaha pengukuhan pasaran serantau dan memperluas jaringan eksport ke pasaran yang lebih mesra dan stabil.

“Kerajaan juga perlu melihat semula struktur cukai dan insentif yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tertentu, termasuk AS,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia masih berada dalam kedudukan ekonomi yang kukuh.

“Negara mempunyai asas ekonomi yang pelbagai, lebihan dagangan yang positif dan kadar pengangguran yang terkawal. Malah, pelaburan langsung asing (FDI) juga masih menunjukkan trend yang sihat.

“Apa yang penting sekarang ialah langkah proaktif dan bersasar daripada semua pihak untuk memastikan kita kekal berdaya tahan. DPIM akan terus menyokong agenda pemulihan ekonomi yang inklusif dan mapan,” tegas beliau.

Beliau turut menyokong langkah Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk berunding bersama AS bagi mencari solusi menang-menang.

“Langkah ini sangat dialu-alukan. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berada pada posisi yang strategik untuk membawa suara serantau dalam rundingan perdagangan yang adil dan seimbang.

“ASEAN merupakan blok ekonomi yang besar, dan kerjasama serantau adalah kunci dalam menghadapi tekanan global seperti tarif dan proteksionisme.

“DPIM menyarankan agar rundingan ini juga mengambil kira aspek keusahawanan dan PKS agar suara mereka turut diangkat dalam proses perundingan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas