PENGUMUMAN tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) oleh Presiden Donald Trump menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi.
Sejak pengumuman pelaksanaan tarif timbal balik ke atas semua produk import, pasaran saham Asia menjunam dengan sangat ketara.
Negara yang dikenakan tarif yang tinggi seperti China tidak berdiam diri apabila mereka membalas dengan tarif 125 peratus ke atas import barangan AS.
Perang tarif antara dua gergasi Amerika dan China ini menimbulkan kerisauan apabila berpotensi mencetuskan bencana kemanusiaan.
Ikuti temu bual wartawan Wilayahku, SERIMAH SALLEHUDDIN bersama Felo Penyelidik IKMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), DR MUHAMMAD AZWAN ABD RAHMAN mengenai tarif timbal balik AS dan impaknya kepada negara.

Apakah Malaysia akan menerima kesan yang besar di atas tarif AS yang diumumkan Donald Trump baru-baru ini?
Sudah tentu, tetapi dengan syarat kita tidak melihatnya secara reduktif.
Kesan itu bukan mutlak atau bersifat linear. Sifat ekonomi Malaysia yang terbuka — khususnya bergantung kepada eksport barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kelapa sawit dan getah menjadikan kita tidak kebal.
Namun begitu, kita harus memahami bahawa ekonomi bukan sekadar angka KDNK atau imbangan dagangan.
Ia juga mencerminkan kesejahteraan komuniti pekerja, keupayaan mobiliti kelas dan ketahanan sistem sokongan sosial.
Jadi, ini adalah masa untuk kita menyemak kembali struktur ekonomi negara. Kebergantungan kepada negara kuasa besar dalam eksport tanpa mempelbagaikan rakan dagang dan pasaran adalah satu ketempangan struktur yang kita warisi sejak era pasca kolonial.
Maka tarif ini, walaupun menyakitkan, membuka ruang untuk kita bangkit dengan susun atur baharu yang lebih berdikari dan adil.
Adakah masyarakat perlu panik dengan apa yang berlaku sekarang?
Tidak, panik adalah penyakit yang lebih bahaya daripada tarif itu sendiri. Penting untuk membezakan antara ketidaktentuan dan ketidakupayaan.
Malaysia tidak lemah tetapi kita mungkin tidak cukup bersedia secara sistemik. Maka, ini masa untuk memperkuat institusi, menyusun komunikasi strategik dan memastikan setiap dasar ekonomi mengambil kira suara rakyat terbanyak.
Kita mesti mendidik masyarakat untuk memahami bahawa dunia hari ini bukan seperti 30 tahun lalu. Krisis datang bukan hanya dari dalam, tetapi dari percaturan kuasa global yang semakin kompleks.
Masyarakat perlu diyakinkan bahawa negara ini ada pelan, ada daya tahan dan yang penting ada maruah.
Adakah pelaksanaan tarif itu juga sebenarnya petanda yang kita bakal berdepan dengan krisis ekonomi yang dahsyat?
Saya lebih cenderung melihatnya sebagai tanda amaran, bukan hukuman. Dunia sedang mengalami gelombang perubahan geopolitik yang luar biasa, kemunculan semula nasionalisme ekonomi, ketidaktentuan iklim dan keretakan dalam sistem multilateralisme global.
Apabila AS memperkenal tarif, ia bukan sekadar dasar ekonomi, tetapi isyarat bahawa era globalisasi tanpa sempadan sudah berakhir.
Bagi Malaysia, risiko krisis besar wujud, tetapi bukan kerana tarif semata-mata. Krisis boleh berlaku jika kita gagal merespons secara struktur, terutama dari segi reformasi dasar, pelaburan dalam sektor domestik dan keberanian untuk keluar dari bayang-bayang ekonomi lama.
Jika kita melihat AS menangguhkan tarif selama tiga bulan kepada semua negara kecuali China, adakah ‘perang perdagangan’ ini berisiko mencetuskan masalah yang lebih besar?
Sudah tentu. Ini bukan lagi soal ekonomi. Ini soal geostrategi. Kita berada dalam era apa yang ahli teori pembangunan sebut sebagai peralihan hegemoni, di mana kuasa dominan dunia sedang tercabar dan mencari bentuk baharu dominasi.
China dan AS bukan sekadar bersaing dalam ekonomi, tetapi dalam menentukan naratif dan aturan dunia pasca-globalisasi untuk mengumpul pemusatan (centrality).
Malaysia berada di persimpangan yang genting. Kita perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa pertembungan dua gajah.
Dalam masa sama, ini ruang untuk menjadi pemain yang matang, membina kerangka dasar luar ekonomi yang lebih bebas, berprinsip dan tidak lagi terlalu bergantung kepada satu kutub kuasa sahaja.
Perdana Menteri menegaskan bahawa tarif ini tidak akan membawa Malaysia kepada kemelesetan. Bagaimana pula dengan pandangan Dr?
Saya menyambut kenyataan itu sebagai satu bentuk keyakinan politik yang perlu, namun saya juga percaya bahawa kenyataan ekonomi mesti disandarkan kepada fakta sosial.
Ya, kita masih punya enjin pertumbuhan domestik, sektor perkhidmatan, pelaburan infrastruktur strategik serta transformasi digital melalui Malaysia MADANI. Tetapi sistem kapitalisme dunia hari ini bersifat asimetrik. Negara-negara seperti kita berada di pinggir sistem, yang sering menjadi ‘penyerap kejutan’ apabila pusat mengalami krisis.
Jadi saya bersetuju dengan Perdana Menteri, tetapi dengan syarat kita tidak leka.
Kita perlu bertindak ‘pre-emptively’ dengan merancang secara inklusif, menapis dasar fiskal dengan bijak dan mempersiapkan jaringan keselamatan sosial yang benar-benar menyantuni rakyat marhaen.
Bagaimana pula dengan ekonomi Malaysia yang menyaksikan peningkatan tahun lalu? Adakah dengan tarif AS ini bakal menjejaskan ekonomi dan pendapatan negara?
Ya, risiko itu ada. Tahun lalu adalah tahun pemulihan, dengan pertumbuhan banyak disumbang oleh lonjakan permintaan global pasca pandemik. Tetapi asas struktur ekonomi masih rapuh.
Jika tarif ini mengurangkan permintaan eksport, maka pengilang akan mengecilkan operasi, pekerjaan mungkin terjejas dan pendapatan negara boleh menyusut. Ini bukan teori, ini pernah berlaku pada era krisis Asia 1997.
Namun jangan kita hanya melihat dari sisi gelap. Malaysia punya peluang memperkukuh sektor ekonomi domestik, memperluas kerjasama dalam BRICS dan ASEAN, serta mengangkat ekonomi sosial yang kini menjadi wacana penting dalam pembangunan seimbang dan lestari.
Bagaimanapun pula dengan pergerakan mata wang? Adakah akan turut terjejas sama?
Pasti. Dalam dunia yang digerakkan oleh sentimen dan spekulasi, mata wang kecil seperti ringgit amat terdedah. Ia bergantung kepada faktor makro dan juga naratif politik domestik. Tetapi kita jangan hanya melihatnya sebagai kelemahan. Ini peluang untuk kita mendalami penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serantau dan memperkukuh integrasi kewangan ASEAN.
Dalam dimensi pembangunan, ‘currency volatility’ juga adalah cerminan bagaimana dunia masih dikongkong oleh hegemoni kewangan Barat. Maka perjuangan untuk kebebasan ekonomi sebenar perlu juga bermula dengan membina kuasa dalam sistem monetari sendiri.
Kita mungkin hanya melihat risiko pelaksanaan tarif AS, tetapi mungkin ada sudut positif yang kita tidak nampak daripadanya?
Benar sekali. Dalam konteks pembangunan selalu mengajar kita, krisis ialah peluang yang menyamar. Tarif ini, walaupun menyakitkan, memaksa kita menilai semula orientasi pembangunan negara.
Antara sisi positifnya adalah:
– Pengukuhan pasaran domestik. Usahawan tempatan diberi ruang untuk bernafas dan berkembang;
– Diversifikasi perdagangan. Kita bebas menjalin kerjasama strategik dengan Global South, Asia Barat dan Afrika;
– Transformasi sektor PKS. Tarif akan mendorong inovasi, penggunaan teknologi dan penciptaan nilai baharu;
– Peningkatan kesedaran rakyat. Masyarakat mungkin mula menilai semula kebergantungan kepada produk import dan memperkukuh solidariti ekonomi lokal.
Kita sedang di hadapan titik perubahan sejarah. Sama ada kita memilih untuk hanya bertahan atau bangkit dengan naratif pembangunan baharu, itu pilihan kita. – WILAYAHKU