MALAYSIA diyakini mempunyai daya tahan mencukupi untuk menghadapi sebarang tekanan perdagangan termasuk impak daripada perang tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ia berikutan kepelbagaian pasaran eksport serta kekuatan jaringan perjanjian perdagangan antarabangsa yang telah dimeterai negara ini.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, walaupun AS merupakan pasaran eksport kedua terbesar bagi Malaysia pada 2024 dengan nilai RM198 bilion atau 13.2 peratus daripada keseluruhan eksport, kepelbagaian pasaran yang melibatkan ASEAN, China, India dan Kesatuan Eropah membolehkan Malaysia menangani impak sekatan tarif dengan lebih berkesan.
“Malaysia juga telah menandatangani 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang memberi akses eksport tanpa tarif atau bertarif rendah ke pelbagai negara. Ini satu kekuatan besar dalam memastikan eksport negara terus mampan,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor buat masa ini masih menikmati pengecualian tarif oleh kerajaan AS, namun keputusan itu boleh berubah bergantung kepada dasar semasa Presiden AS.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pengecualian ini kerana landskap politik di AS sangat dinamik. Oleh itu, langkah kerajaan Malaysia untuk terus berunding dengan Washington adalah tepat dan strategik,” jelasnya.
Mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global, Afzanizam menjelaskan bahawa perang tarif boleh menjejaskan kelancaran pergerakan barangan input dan meningkatkan kos perniagaan.
“Produk seperti telefon pintar melalui beberapa negara sebelum menjadi produk akhir. Sebarang sekatan tarif akan mengganggu aliran ini dan menyebabkan kenaikan kos operasi,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menyarankan agar kerajaan terus mempelbagaikan pasaran dagangan, mengurangkan kerenah birokrasi, serta memperhebat latihan dan pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar mereka lebih berdaya saing di peringkat global.
Afzanizam juga melihat konflik perdagangan ini sebagai peluang untuk mempercepatkan penstrukturan semula ekonomi negara, dengan memberi tumpuan kepada pelaburan strategik dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur.
“Ini masanya untuk menyemak semula perbelanjaan kerajaan. Contohnya, subsidi bahan api perlu distrukturkan semula kerana lebih banyak menguntungkan golongan berpendapatan tinggi dan warga asing,” katanya sambil menegaskan keperluan setiap perbelanjaan kerajaan dinilai dari segi pulangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Mengulas jangkaan kerjasama serantau, Afzanizam berpandangan bahawa isu tarif ini wajar dibawa ke peringkat ASEAN bagi mendapatkan rundingan kolektif yang lebih kukuh dengan AS.
“ASEAN sebagai blok perdagangan perlu menyuarakan kebimbangan bersama. Suara kolektif mampu memberi tekanan diplomatik lebih efektif kepada Washington,” tegas beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia kini berada pada landasan yang strategik untuk menghadapi cabaran global ini, namun menurutnya langkah proaktif dan reformasi struktur perlu disegerakan bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan kompetitif dalam jangka panjang. – WILAYAHKU