Berita

Tarif timbal balik AS: Kaji data, kesan langsung

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 7 Mei 2025 3:09 PM MYT

TARIF timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan Presiden Donald Trump baru-baru ini dijangka memberi kesan langsung kepada Malaysia dan beberapa negara ASEAN lain.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata tarif baru itu akan mengganggu perdagangan antarabangsa. Bukan saja memberi kesan kepada harga barang tetapi boleh membawa kepada risiko kemelesetan ekonomi global.

“Negara lain seperti China dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka bertindak balas terhadap tarif AS ini.

“Rantaian bekalan global yang sudah pun tegang bakal berdepan tekanan tambahan jika perang perdagangan terus memuncak.

MOHD SEDEK

“Kini, perang perdagangan dianggap antara lima faktor utama yang boleh me ncetuskan kegawatan ekonomi dunia, bersama isu lain seperti kejatuhan pasaran saham dan masalah hutang negara besar seperti AS,” katanya.

Tempiasnya kata Mohd Sedek akan terkena kepada Malaysia dan negara ASEAN lain. Eksport Malaysia ke AS kini dikenakan cukai sebanyak 24%.  Ini jelas beliau bukan jumlah kecil kerana AS merupakan antara pasaran utama, mengambil kirakira 10% daripada jumlah eksport negara.

“Malaysia dan beberapa negara ASEAN lain kini terkesan secara langsung dengan tarif baru yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

“Buat masa ini, ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2025 masih pada kadar 4.8%, seperti yang dijangka UOB Kay Hian Wealth Advisors sebelum ini.

“Namun, jika data ekonomi bulan Mac menunjukkan tanda-tanda kelembapan, angka ini mungkin akan disemak semula.

“Tanda awal kelembapan sudah kelihatan antaranya pengeluaran perindustrian merosot dan bacaan PMI (Indeks Pengurus Pembelian) pula hampir mencecah tahap yang menunjukkan aktiviti ekonomi semakin perlahan,” kata Sedek.

Mata wang ringgit juga katanya sedang ditekan dan dijangka terus lemah sehingga mencecah RM4.55 untuk AS$1 menjelang akhir tahun. Kelemahan ringgit ini bermakna barangan import akan menjadi lebih mahal, sekali gus menyebabkan harga barang dalam negara meningkat.

Sementara itu kata Mohd Sedek di peringkat global, tindak balas terhadap tarif diumumkan Amerika Syarikat sedang dirancang. China dijangka mengambil langkah balas, berkemungkinan mengenakan tarif ke atas barangan atau perkhidmatan dari Amerika Syarikat. Kesatuan Eropah juga berpotensi untuk turut serta dalam tindakan balas tersebut. Ketegangan ini berlaku dalam keadaan rantaian bekalan global yang sudah pun berada dalam keadaan tegang dan tidak stabil.

“Perang perdagangan kini tergolong dalam lima pencetus utama kemelesetan ekonomi global, selain disebabkan kejatuhan pasaran ekuiti, penarikan semula dasar fiskal, ketidaktentuan siling hutang negara Amerika Syarikat, dan juga lonjakan premium risiko pasaran.

“Di Amerika Syarikat sendiri, pasaran menunjukkan reaksi negatif. Namun begitu, pasaran buruh kekal kukuh.

“Laporan pekerjaan bagi bulan Mac mencatatkan pertambahan 228,000 pekerjaan berbanding 140,000, sekali gus mencerminkan ketahanan ekonomi domestik.

“Bagaimanapun keadaan ini mewujudkan dilema buat Rizab Persekutuan (Federal Reserve). Kesan tarif ini menyerupai kejutan bekalan (supply shock), seperti yang berlaku akibat krisis minyak pada tahun 1970-an atau sewaktu pandemik COVID-19 pada 2020,” katanya.

Bursa Malaysia juga menyaksikan penurunan ketara berikutan pelaksanaan tarif balas oleh Amerika Syarikat pada 9 April lalu. Situasi itu memberi kesan besar kepada sektor yang bergantung kepada perdagangan dan eksport global.

Sektor seperti teknologi, elektronik, produk dan perkhidmatan perindustrian serta pembuatan mengalami tekanan paling hebat. Trend ini turut dilihat di peringkat serantau apabila pasaran saham di Jepun, Hong Kong dan Singapura turut menjunam, memperlihatkan kesan terhadap ekonomi yang bergantung kepada eksport seperti Malaysia.

Ditanya kesan yang bakal dihadapi negara susulan daripada kenaikan tarif, Mohd Sedek berkata kesan limpahan global tetap memberi impak. Penurunan 1% dalam KDNK dunia berpotensi mengurangkan hampir 0.38% daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Ketidaktentuan nilai ringgit juga dijangka meningkat dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu. Namun beliau berkata terdapat beberapa penampan serantau— China kini mengalihkan lebih banyak eksportnya ke ASEAN (16.4% pada tahun 2024), dan bank-bank pusat Asia sedang mengambil langkah awal.

India dan Filipina telah menurunkan kadar faedah. Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 3%, tetapi sekiranya perdagangan terjejas teruk, rangsangan fiskal mungkin akan dipertimbangkan semula.

Ditanya sama ada panik yang berlaku sekarang, katanya ia mungkin tidak sepenuhnya, tetapi juga bukan sekadar gangguan sementara.

“Ya, rundingan dan pengecualian tarif boleh mengurangkan tekanan. Namun, asas ekonomi tidak boleh dinafikan, nisbah hutang kepada KDNK Amerika Syarikat kini mencecah 120%.

“Ekonomi Malaysia pula sangat bergantung kepada eksport. Dari sudut teknikal—sentimen pasaran, menunjukkan isyarat berhati-hati.

“Sekiranya perniagaan menghentikan operasi menangguhkan pengambilan pekerja, atau menunda pelaburan, kemerosotan ekonomi boleh menjadi kenyataan yang terwujud sendiri. Jawapannya bukanlah panik—tetapi ia juga bukan penafian,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas