Berita

Tarif timbal balik AS: Bangunkan industri milikan sendiri

MALAYSIA antara negara yang tersenarai dengan tarif sebanyak 24 peratus.
- Diterbit 7 Mei 2025 2:48 PM MYT

MALAYSIA wajar membangunkan industri milikan sendiri dalam mendepani sebarang ketidaktentuan ekonomi global khususnya tarif timbal balik yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Demikian cadangan dilontarkan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kewangan dan Ekonomi Dewan Rakyat, Lee Chean Chung kepada kerajaan susulan tindakan Trump tersebut.

Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berpendapat Malaysia juga perlu mempunyai keupayaan untuk mengeksport barangan buatan dan milikan sendiri berkenaan, khususnya barangan bernilai tinggi seperti semikonduktor.

“Ini (tarif timbal balik) merupakan satu tindak balas AS untuk mengekalkan industri mereka.

“Namun ia tidak mengikuti peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dan Malaysia antara negara yang menjadi mangsa,” katanya kepada Wilayahku.

CHEAN CHUNG

Terdahulu Trump mengumumkan tarif timbal balik ke atas negara-negara di seluruh dunia dalam gelombang perang perdagangan global.

Trump menegaskan bahawa usaha ekonomi baharunya bertujuan membina ekonomi Amerika dengan merangsang sektor pembuatan domestik, meningkatkan hasil kerajaan dan menghalang apa yang disifatkannya sebagai ‘penipuan’ dalam perdagangan.

Malaysia antara negara yang tersenarai dengan tarif sebanyak 24 peratus.

Biarpun begitu Trump kemudiannya mempertimbangkan penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang.

Dalam pada itu, Chean Chung berpendapat bahawa dalam tempih penangguhan 90 hari itu, Malaysia perlu terus berhubungan dengan AS dan semua negara lain, terutama ASEAN untuk mewujudkan satu suara bagi menangani ‘perang perdagangan’ berkenaan.

Malaysia katanya memerlukan semua pihak untuk terus membangunkan ekonomi negara di sebalik AS merupakan pelabur terbesar di Asia Tenggara manakala China pula pedagang terbesar dengan Malaysia.

Ke hadapannya beliau berkata semua pihak harus balik ke meja rundingan multilateral.

“Saya bimbang dunia makin menjadi bipolar. ini tidak baik kerana ia tidak menggalakkan perdagangan secara efektif dan mengancam keselamatan dunia,” tegasnya.

Seperkara lain beliau berpendapat Malaysia harus lebih mengukuhkan daya beli rakyat tempatan di samping meningkatkan perdagangan sesama ASEAN dan Asia.

“Ini dapat mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu-satu negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas