PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak, khususnya penjawat awam, agar tidak terburu-buru dalam mengulas isu semasa, sebaliknya bersikap bijaksana serta relevan supaya tidak dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, isu-isu yang timbul dalam negara harus diselesaikan dengan tenang dan penuh hikmah, tanpa memberi ruang kepada permainan sensasi terutama di media sosial.
“Kita terlalu mudah terheret oleh sensasi media, baik media sosial mahupun arus perdana. Perkara kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik diperbesarkan seolah-olah mencetuskan krisis besar – isu kuil jadi isu perang, belon pun jadi bahan panas.
“Sebab itu saya nasihatkan, jangan buka ruang kepada mereka yang suka menangguk di air keruh,” katanya semasa menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abdul Bakar; serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Turut hadir barisan Menteri di JPM termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Mohd Na’im Mokhtar (Hal Ehwal Agama).
Anwar menegaskan bahawa ada pihak yang sengaja mengeksploitasi isu-isu tertentu untuk tujuan politik tanpa mempertimbangkan keharmonian dan kepentingan bersama.
“Ada golongan yang hanya tahu mempolitikkan isu, melihat segala hal dalam kerangka menghukum. Mereka lupa akan kepentingan awam,” ujarnya.
Sebagai contoh, beliau menyentuh isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berjaya diselesaikan secara terhormat tanpa menjejaskan sensitiviti mana-mana kaum.
“Malaysia negara majmuk. Islam tetap agama Persekutuan, dan prinsip-prinsip ini menjadi panduan kita dalam menyelesaikan setiap permasalahan,” tambah beliau.-WILAYAHKU