Berita

Tandatangani MoU bersama dua persatuan, YWP rangka inisiatif urus mayat

ABDUL RAHMAN (tiga dari kiri) selepas memeterai MoU di Wisma YWP
- Diterbit 29 Januari 2024 12:05 PM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) mengambil langkah pertama dalam sejarah penubuhannya dengan merangka inisiatif bagi membantu menampung kos pengurusan mayat dalam kalangan bukan Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.

Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj berkata ia merupakan kali pertama pihaknya menguruskan mayat bukan Islam bersama Persatuan Kebajikan Er Ge Feng dan Song Da Feng Selangor dan Kuala Lumpur.

“Seperti semua sedia maklum, kos pengurusan mayat bukan Islam menelan belanja yang amat tinggi, kadang-kala ia boleh mencecah sehingga RM6,000 bagi seorang mayat.

“Jadi dengan kerjasama ini, pihak persatuan kebajikan akan menanggung segala kos dan menguruskan proses pengurusan sehingga pengebumian melalui jumlah dana RM100,000 yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengurusan Mayat di Wisma YWP.

MoU tersebut ditandatangani bersama Pengarah Eksekutif Persatuan Kebajikan, Er Ge Feng dan Song Da Feng Selangor dan Kuala Lumpur, Datuk Seri Yong Mun Tong sambil disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim dan Ketua Pegawai Undang-Undang YWP, Mohd Fadzil Abd Hamid.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata pengurusan mayat bukan Islam akan melalui Skim Prihatin Wilayah Persekutuan yang disediakan oleh YWP sejak tahun 2010 dan pihaknya bertanggungjawab dalam mengenal pasti nama pemohon layak untuk menerima bantuan pengurusan mayat jika berlaku kematian.

“Setakat ini, senarai ahli Skim Prihatin yang masih aktif adalah seramai 52,646 meliputi warga Wilayah Persekutuan beragama Islam dan bukan Islam. Sekiranya si mati adalah ahli yang berdaftar di bawah skim tersebut, waris layak dibantu menggunakan inisiatif tersebut,” katanya.

Tambah beliau inisiatif ini juga mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak yang ingin menyumbang ke Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP bagi meneruskan program dan aktiviti khususnya berkaitan keagamaan.

Abdul Rahman juga berharap kerjasama ini akan dapat membantu warga kota yang memerlukan dan wajar diperkembangkan jika inisiatif ini berjaya dilaksanakan.

Sementara itu, Gulam melihat inisiatif yang dilaksanakan oleh persatuan ini boleh dikembangkan melalui Skim Khairat Kematian atau Skim Prihatin YWP.

“Daripada jumlah tersebut, didapati lebih kurang 20 hingga 30 peratus ahli berusia 70 tahun dan ke atas tiada perlindungan insurans, jadi secara tidak langsung ini adalah tanggungjawab sosial mereka kepada kita,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas