USAHA mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India menyaksikan pelbagai kaedah digunakan dalam operasi itu antaranya melakukan ujian melepaskan botol dari lurang kumbahan berdekatan lokasi kejadian.
Dalam sidang media selepas meninjau operasi SAR serta melawat keluarga mangsa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata hasil ujian itu mendapati objek berkenaan mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai ke titik akhir (end point) di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.
Selain itu usaha pemantauan di lokasi kejadian termasuk melakukan imbasan bagi teknik flushing, jetter dan alat pengesan bawah tanah iaitu Radar Pengesan Bawah Tanah (GPR) turut dilakukan untuk mencari wanita warga India itu.
Operasi SAR kali ini juga menggunakan teknologi kamera bagi mengesan keberadaan mangsa dan kaedah itu dijalankan melibatkan dua lurang kumbahan iaitu di Jalan Melayu dan Bulatan Kinabalu dengan menggunakan rod tunjal (push rod) dan kamera crawler.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan penggunaan alat rod tunjal dan kamera crawler di lurang satu hingga ke lurang yang terletak di di hadapan Wisma Yakin bagi mengesan mangsa, tidak membuahkan hasil.
GPR turut digunakan dalam operasi SAR.
Frankie dan Denti iaitu dua ekor anjing dari Unit Pengesan K9 JBPM, bagi melakukan pengesanan mangsa yang belum ditemukan setakat ini. – BERNAMA