TOKOH diplomatik berpengalaman lebih tiga dekad, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu, sekali gus meneruskan kesinambungan perkhidmatan diplomatik strategik antara Putrajaya dan Washington D.C.
Menurut Wisma Putra, pelantikan beliau diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Istana Negara, dan turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
“Tan Sri Shahrul Ikram menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat sejak 2023 dan telah menamatkan perkhidmatan diplomatiknya.
” Sebelum itu, jawatan tersebut disandang oleh Azmil Mohd Zabidi dari 2017 hingga 2021, seorang pegawai kanan Wisma Putra yang turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan pertahanan Malaysia–Amerika Syarikat semasa pentadbiran Presiden Donald Trump, ” katanya dalam kenyataan.
Pelantikan Tan Sri Shahrul Ikram dilihat tepat pada masanya disaat Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025, dengan Amerika Syarikat dijangka menjadi antara rakan strategik utama rantau ini dalam kerjasama ekonomi, keselamatan dan perubahan iklim.
Wisma Putra berkata Muhammad Shahrul Ikram merupakan anak kelahiran Bentong, Pahang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya dan telah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.
Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan diplomatik pada 1988 dan merupakan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022.
” Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Austria, dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York
Shahrul Ikram juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia semasa Kepengerusian ASEAN 2015, serta Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.-WILAYAHKU