Artikel

Tambahan 50,000 unit Peranti Siswa untuk pelajar

SEBANYAK 14,253 permohonan kemudahan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diluluskan di Kelantan setakat 26 Oktober.
- Diterbit 3 November 2022 4:44 AM MYT

TAMBAHAN 50,000 unit peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah dibuat bagi memberi peluang pelajar yang membuat rayuan memperolehnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata langkah itu bertujuan membuka peluang rayuan seluas-luasnya kepada pelajar yang layak, namun ditolak selain memastikan bekalan peranti tidak terputus.

“Kita ada peranti yang cukup, tiga hari lepas saya telah arahkan KSU (Ketua Setiausaha) kementerian untuk menambah tempahan daripada tender yang ada melalui VO untuk tambahan 50,000 unit lagi dengan perbelanjaan lebih kurang RM65 juta supaya bekalan tidak terputus mengambil kira kes-kes rayuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program KPT Prihatin dan Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu baru-baru ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. Mengulas mengenai kes rayuan peranti siswa, Annuar menasihatkan pemohon untuk berjumpa dengan persatuan pelajar atau pusat pengajian mereka bagi mengemukakan rayuan dengan memberi bukti atau sebab rayuan perlu dipertimbangkan.

“Kita buka seluas-luas peluang rayuan asalkan mereka layak ataupun ada kes-kes tertentu yang kita boleh beri pertimbangan kita akan bagi, konsepnya kita nak bagi kepada seberapa ramai pelajar yang layak,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 14,253 permohonan kemudahan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diluluskan di Kelantan setakat 26 Oktober.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata jumlah itu mewakili 71 peratus daripada 20,080 permohonan pelajar dari universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta.

Menurut beliau, pengagihan Peranti Siswa di semua institusi pengajian tinggi kini sedang dilakukan dan proses itu akan dipercepatkan.

“Saya telah meminta proses kelulusan dan pengagihan ini dilakukan segera kerana tidak mahu pelajar menunggu lebih lama untuk mendapatkan peranti ini,” katanya.

Noraini merasmikan Majlis Pelancaran Program Kembara Keluarga Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Tahun 2022 Peringkat Negeri Kelantan dan Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime.

Beliau berkata program itu bertujuan membantu pelajar asnaf dalam aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan.

“Ia melibatkan sumbangan zakat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 17,800 pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih seluruh negara.

“Sumbangan diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta,” katanya.

Selain itu, Dr Noraini turut menyempurnakan pelancaran Program Keahlian Pra-U@UMK.

“Kad keahlian ini membolehkan perpustakaan di universiti menjadi pusat sehenti bagi masyarakat mendapatkan perkhidmatan seperti carian bahan rujukan dan penyelidikan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas