Berita

Tambah kerusi Parlimen: Perkara 46 perlu dipinda terlebih dahulu

- Diterbit 22 November 2024 10:27 AM MYT

PERTAMBAHAN bilangan Ahli Dewan Rakyat atau kerusi Parlimen memerlukan pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum perkara itu dapat dilaksanakan.

Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, pindaan itu perlu mendapat persetujuan dua pertiga daripada jumlah Ahli Dewan Rakyat.

“Cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat hendaklah datang daripada kerajaan sendiri selaras dengan keperluan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) jika kerajaan berhasrat untuk melaksanakan penambahan kerusi Parlimen melalui persempadanan semula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Azalina memberitahu, SPR menjalankan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan serta menurut bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113.

Katanya, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Bagi maksud tersebut, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri Sabah akan berakhir pada tahun depan manakala negeri-negeri di Semenanjung akan berakhir pada 2026.

“Lat tempoh lapan tahun bagi Sarawak telah berakhir pada tahun 2023 dan SPR sedang menimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas