TAMAN Tasik Titiwangsa terkenal sebagai tempat riadah dan bersantai dalam kalangan warga kota, juga mereka dari luar ibu kota. Kemudahan riadah seperti trek joging disediakan. Yang hendak senaman sambil mengelilingi tasik boleh menyewa basikal yang boleh dinaiki dan dikayuh oleh seorang atau lebih.
Dataran ‘taman air’ disediakan untuk kanak-kanak mandi-manda. Juga boleh berpiknik di kawasan rumput hijau yang dilengkapi dengan meja dan bangku. Kemudahan menunggang kuda juga disediakan untuk pengunjung.
Kerana itu Taman Tasik Titiwangsa jarang sunyi. Pada hari minggu atau hari cuti khususnya, lebih ramai datang berkunjung. Sejak awal pagi orang ramai berduyun-duyun sehingga sukar mendapat tempat parkir.
Para peniaga menguasai banyak petak parkir adalah pemandangan biasa di kawasan taman tasik berkenaan. Di samping itu pengendali basikal sewa juga meletakkannya di kawasan parkir. Ini kerana tidak ada ruang khas untuk mereka, jadi terpaksa mengambil petak parkir awam.
Kawan-kawan Kedai Kopi faham isu ini sudah kerap disuarakan melalui media. Namun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) barangkali belum dapat mencari penyelesaian muktamad mengatasinya. Diharap isu ini akhirnya dapat diatasi.
Satu lagi isu yang ingin diutarakan ialah terdapat lokasi tertentu di Taman Tasik Titiwangsa ini yang bagai menjadi tempat buangan barang buruk sehingga kelihatan seperti kawasan buang sampah.
Kunjungan kawan-kawan Kedai Kopi baru-baru ini mendapati basikal sewa yang sudah rosak dihumban berlonggok berhampiran kawasan lalu-lalang orang ramai. Meja usang juga dibuang di situ. Selain itu terdapat food truck yang sudah menjadi besi buruk dibiar tersadai di kawasan parkir.
Ini semua adalah pemandangan yang tidak menyenangkan serta mencemar taman tasik tumpuan ramai. Tempat buangan ini pula dalam kawasan banyak trak makanan lain berniaga. Tentu kurang enak makan berhampiran dengan bahan buangan.
Justeru kawan-kawan Kedai Kopi berharap pengendali dan pemilik basikal sewa serta trak makanan bersikap lebih bertanggungjawab. Barang yang sudah rosak jangan dibiar mereput di kawasan tersebut serta mencacatkan pemandangan. Buatlah sesuatu untuk melupuskan.
Pihak DBKL perlu bersikap lebih tegas dalam isu ini. Kenal pasti mereka yang ‘menyampahkan’ kawasan berkenaan dan ambil tindakan sewajarnya. Jangan cemari keindahan dan kebersihan Taman Tasik Titiwangsa yang menjadi kebanggaan warga ibu kota. – WILAYAHKU