Berita

Undang-undang atasi pencemaran plastik dikaji semula

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 1 April 2024 6:05 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan mengkaji semula undang-undang berkaitan bagi mengatasi pencemaran plastik di negara ini.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata undang-undang yang sedia ada bersifat fragmented law iaitu pelaksanaannya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut kesesuaian lokaliti serta konteks di kawasan masing-masing.

“Jadi, atas dasar itu kita (kementerian) sedang melihat bagaimana di peringkat dunia melalui satu perjanjian plastik (dari segi dasar menguruskan), kita melihat bagaimana kerajaan Persekutuan juga dapat menggubal perundangan bagi mengatasi masalah pencemaran plastik ini.

“Bagaimana kita nak menjadikan penggunaan plastik ini lebih lestari? Sama ada dengan pengurangan penggunaan plastik sekali guna, plastik yang boleh biodegradasi yang diperbuat daripada bahan bahan organik ataupun alternatif lain untuk menggantikan penggunaan plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog “Pathways to Plastic Neutrality: Collaborative Action and Innovative Solution” anjuran Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Yayasan Hijau Malaysia di sini hari ini.

NiK Nazmi berkata usaha mengatasi pencemaran plastik disifatkan kurang efektif, walaupun pelbagai usaha dilakukan, isu pencemaran tetap menjadi masalah utama Malaysia.

“Kita tahu bahawa kuantiti plastik di dalam sungai dan lautan menyumbang kepada masalah banjir, kepada kelaziman plastik mikro dalam rantaian makanan kita. Jadi, saya rasa di situlah kita melihat semula dasar sedia ada.

“Sekarang, beberapa negeri sudah mengenakan caj terhadap penggunaan plastik, tetapi ia tidak lagi dibuat secara meluas dan antara cabaran besar di Malaysia ialah sektor tidak formal, contohnya di bazar Ramadan, pasar malam yang masih menggunakan plastik secara meluas,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas