Berita

Tokong lebih satu abad antara tumpuan pengunjung sempena Tahun Baharu Cina

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 11 Februari 2024 3:10 PM MYT

TOKONG Sin Sze Si Ya di Lebuh Pudu di sini yang menjadi “mata” menyaksikan dan menyimpan sejarah pembangunan ibu negara lebih satu abad, antara lokasi tumpuan masyarakat Cina serta pelancong asing dan tempatan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina semalam.

Tokong yang diasaskan pada 1864 oleh Yap Ah Loy itu merupakan antara tokong terawal ditubuhkan di Kuala Lumpur.

Ketika ditemui Bernama, pengunjung dari Australia, Steven Smith, 38, berkata dia dan isteri singgah ke tokong itu untuk merasai kemeriahan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, selain teruja menonton persembahan tarian naga di situ buat kali pertama.

“Kami berada di sini selama tujuh hari … kami ke tokong ini kerana sering mendengar tentang sejarahnya, kelihatan juga dekorasi di sekitar jalan berwarna merah dan ia sangat cantik,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu negara juga mendapati tempat tumpuan lain seperti Bukit Bintang, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Taman Tasik Titiwangsa dipenuhi warga kota dan pelancong yang mengambil peluang cuti umum dan persekolahan yang panjang.

Fatimah Abd Manap, 48, dari Sungai Petani, Kedah berkata dia bersama keluarganya mengunjungi Kuala Lumpur untuk mengambil angin sambil menziarahi rakan berbangsa Cina di sini.

“Saya dan keluarga berjalan-jalan di sekitar kawasan ini sebelum ke rumah terbuka rakan kerja dahulu pada sebelah malam memandangkan kami sudah lama tidak berjumpa,” katanya ketika ditemui di sekitar Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Bagi Daniel Lew, 38, dari Melaka, dia pulang ke ibu kota ini yang merupakan “kampung”nya untuk menziarahi kedua-dua orang tua dan ahli keluarganya yang lain.

“Pada masa yang sama, saya bawa anak-anak sedang bercuti sekolah untuk jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Bukit Bintang.

Tahun Baharu Cina disambut semalam dan merupakan tahun naga dalam kalendar zodiak Cina yang dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas