Selebriti

TMJ tawar khidmat peguamnya untuk kes Bella

|
- Diterbit 17 April 2022 2:29 AM MYT

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun untuk menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan Bella.

Menerusi hantaran di media sosial, Tunku Ismail memaklumkan sudah berhubung dan berbincang dengan peguamnya mengenai kes terbabit.

“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.

“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini,” tulisnya menerusi hantaran di sosial media pada Sabtu.

Tambah Tunku Ismail, kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam dan peguambela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT).

“Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini,” katanya.

Terdahulu, isteri TMJ Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas