Berita

Terminal Feri Antarabangsa Labuan umum kenaikan yuran 1 November

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 6 Oktober 2023 6:45 AM MYT

TERMINAL Feri Antarabangsa Labuan akan melaksanakan pelarasan semula yuran berkuat kuasa 1 November ini.

Kadar baharu menyaksikan kenaikan RM3 bagi laluan domestik menghubungkan Labuan dengan Sabah, Menumbok dan Sipitang, serta Lawas dan Limbang di Sarawak, manakala yuran bagi laluan ke Brunei akan meningkat RM5.

Kenaikan tersebut dijangka menyebabkan peningkatan harga tiket bagi laluan terlibat.

Ketua Pegawai Ekskutif LDA Holdings Sdn Bhd, Noor Halim Zaini berkata kenaikan itu, yang merupakan kali pertama sejak 17 tahun yuran tersebut diperkenalkan, adalah bagi menanggung kos operasi yang meningkat selepas kewangan syarikat terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Hasil tambahan yang diperoleh akan disalurkan bagi menambah baik kemudahan yang disediakan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, yang akhirnya memberi manfaat kepada penumpang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai yuran terminal dan harga tiket boleh diperoleh daripada laman rasmi Terminal Feri Antarabangsa Labuan atau dengan menghubungi 016-877 2117. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas