Berita

Terengganu bolot emas berbasikal bukit

- Diterbit 23 September 2022 2:30 PM MYT

KETIADAAN trek berbasikal bukit di Terengganu tidak menjadi penghalang buat atlet negeri itu menguasai acara berbasikal bukit di Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 hari ini.

Perlumbaan yang berlangsung di Taman Cabaran di sini menyaksikan, pelumba negara Saniy Syahmi Mohd Saifee mempamerkan kayuhan bertenaga ke garisan penamat dengan catatan masa terpantas 1 minit dan 23.342 saat mengetepikan pencabar dari Sarawak Yohannes Larenza Meahian.

Saniy Syahmi berkata, meskipun perlumbaan hari ini begitu kompetitif kerana perlu bersaing dengan Yohannes, namun beliau tetap menyasarkan emas pada awal perlumbaan.

“Kesukaran saya hadapi sebelum ialah tidak ada trek downhill di Terengganu, saya datang sini baru berlatih, tapi saya mampu juga dapat emas, saya puas hati,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Rakan sepasukannya Amer Akbar Anuar yang mencatat masa 1:25.168s meraih perak, manakala Yohannes berpuas hati dengan gangsa selepas mencatat 1:29.695s.

Sementara itu, atlet wanita Terengganu Eddyna Nasuhar Zainal Abidin turut menampilkan kayuhan cemerlang untuk mengungguli kategori wanita dengan 1:32.848s.

Pingat perak menjadi milik Siti Natasha Mohd Basri dari Perak dengan kayuhan 1:38.707s sementara gangsa disambar atlet Pahang, Nia Vanessa Suhana Zaidi dengan 1:40:367s. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas