Berita

Sukan SEA 2021: Senarai akhir jumlah sukan dimuktamad pada November

- Diterbit 20 Oktober 2020 7:25 AM MYT

PERSEKUTUAN Sukan SEA (SEAGF) dijangka memuktamadkan senarai akhir jumlah sukan yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada tahun depan, menerusi Mesyuarat Ahli Majlis badan induk itu secara maya pada bulan hadapan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata laporan media Vietnam baru-baru ini yang mendakwa terdapat tambahan empat acara menjadikan keseluruhan 40 acara dipertandingkan pada temasya sukan itu adalah tidak tepat.

“Mesyuarat Eksekutif SEAGF mengenai tambahan empat acara berkenaan adalah tidak betul kerana senarai akhir jumlah sukan, kebiasaannya dimuktamadkan dalam mesyuarat ahli majlis SEAGF,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beberapa media Vietnam sebelum ini melaporkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA, bersetuju menambah empat jenis sukan pada Sukan SEA 2021 iaitu, bowling, jiujitsu, esports dan triathlon.

Vietnam mempertandingkan 33 jenis sukan sewaktu menjadi tuan rumah Sukan SEA buat julung kalinya pada 2003 yang diadakan di bandar raya Hanoi dan Ho Chi Minh.

Mesyuarat Ahli Majlis SEAGF yang berlangsung secara maya pada Julai lalu, bersetuju menyenaraikan 36 jenis sukan, melibatkan 450 acara pada Sukan SEA 2021 dari 21 Nov hingga 2 Dis.

Sebanyak 56 acara dipertandingkan pada edisi ke-30 di Filipina tahun lepas, dengan Malaysia menduduki tangga kelima daripada 11 negara bertanding setelah meraih 56 pingat emas, 58 perak dan 71 gangsa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas