Berita

Maahad tahfiz nafi Annuar langgar SOP

ANNUAR (kiri) sewaktu melawat tapak pembinaan Kompleks Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz Fasa Dua dan bukannya ketika menyambut majlis hari jadinya seperti yang ditularkan oleh portal berita terdahulu. ANNUAR (kiri) sewaktu melawat tapak pembinaan Kompleks Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz Fasa Dua dan bukannya ketika menyambut majlis hari jadinya seperti yang ditularkan oleh portal berita terdahulu.
- Diterbit 20 Mei 2021 1:02 AM MYT

MAAHAD Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz menafikan spekulasi berkenaan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yang telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang tular baru-baru ini.

Pihaknya berkata gambar yang tersebar itu adalah sewaktu lawatan Annuar ke tapak pembinaan Kompleks Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz Fasa Dua bukannya ketika majlis meraikan hari lahir seperti dinyatakan media terdahulu.

“Ia bukan majlis hari jadi sesiapapun sebaliknya majlis lawatan Tan Sri ke tapak pembinaan Kompleks Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz Fasa Dua yang berada di Gombak, Kuala Lumpur.

“Lawatan kerja ini sesuai di atas kapasiti Annuar selaku Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengetahui perkembangan pembangunan di pusat tahfiz tersebut yang sememangnya terletak di Kuala Lumpur,” kata unit media Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Ujarnya lagi, lawatan kerja serta majlis berbuka puasa itu diadakan pada 29 April 2021 dan bukan 18 Mei 2021 sekaligus membuktikan ianya dilakukan sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat oleh pihak kerajaan.

Pihaknya turut melahirkan rasa kesal dengan laporan pemberitaan tidak tepat dan tentunya lebih menjengkelkan jika ianya berniat untuk menabur fitnah samada kepada Annuar atau institusi tahfiz yang dilawatinya itu.

Melalui siaran media itu juga, pihak mereka turut mengharapkan agar semua orang dianugerahkan hidayah olehNya.

“Apapun kami seluruh warga tahfiz berdoa semoga Allah yang bersifat pengasih dan penyayang menganugerahkan hidayahNya kepada kita semua.

“Ia termasuk kepada mereka tertentu yang mungkin memiliki sekeping hati kurang sejahtera agar kita semua kembali kepada Qalbun Salim,” katanya menerusi laman rasmi tahfiz tersebut.

Dalam pada itu, turut mendoakan agar Annuar terus diberi kesihatan yang baik serta istiqamah dalam memperjuangkan nasib ummah serta Islam dan meletakkan harapan agar perkara yang berlaku di Palestin tidak akan terjadi di Malaysia kerana kekuatan umat Islam ialah apabila semua bersatu padu seterusnya meletakkan agenda Islam nombor satu dalam kehidupan seharian.

Terdahulu laporan berita di portal World of Buzz mendakwa Annuar melanggar SOP dalam sambutan hari jadi ketika pelaksanaan PKP dan turut menyiarkan laporan sama, portal Malaysia Dateline bertajuk ‘Walau PKP, Menteri buat majlis hari lahir dihadiri 100 pelajar tahfiz’ telah disiarkan.  – WILAYAHKU – DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas