Berita

Kuala Lumpur bakal jadi bandar menua menjelang 2040

ANWAR (empat dari kiri) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh (tiga dari kiri) ketika Majlis Peluncuran PSKL2040 baru-baru ini. Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim
- Diterbit 15 November 2023 1:08 PM MYT

KUALA Lumpur dijangka bakal berdepan status bandar menua menjelang tahun 2040 dengan kadar penduduk warga emas adalah lebih tinggi.

Menurut Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040), memandangkan ibu negara ini dijangka berdepan status bandar menua dalam tempoh 17 tahun lagi, perumahan khusus bagi warga emas perlu dibangunkan.

“PSKL2040 menjangkakan jumlah penduduk warga emas adalah lebih tinggi iaitu 17.3 peratus 2040 berbanding 9.2 peratus pada 2025.

“Pembinaan rumah khusus bagi warga emas yang digalakkan termasuk rumah persaraan bagi kehidupan berdikari, rumah persaraan lengkap dengan bantuan perubatan serta rumah penjagaan warga emas.

“Ini membolehkan warga emas hidup berdikari dengan penyediaan kemudahan khusus untuk membantu mereka hidup sendiri,” katanya bagaimanapun kesesuaian rumah persaraan dengan bantuan perubatan di kawasan kediaman perlu dikaji dengan terperinci.

Tambahnya, pembangunan rumah khusus bagi warga emas digalakkan untuk dijual, dipajak atau disewa kepada golongan dan pembangunannya boleh sama ada di dalam zon kediaman atau perdagangan dengan mengambil kira kesesuaian semasa.

Bagi rumah penjagaan warga emas, tambahnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menyediakan garis panduan terperinci bagi perancangan dan reka bentuknya dan ia perlu selari dengan garis panduan daripada agensi berkaitan bagi memartabatkan kesejahteraan warga emas.

“Rumah persaraan perlu dilengkapi dengan kemudahan yang mengambil kira prinsip asas reka bentuk sejagat seperti kelengkapan mesra warga emas termasuk alat amaran kecemasan dan keselamatan bagi membolehkan warga emas hidup dengan selesa berdasarkan kemampuan fizikal tanpa bantuan,” ujarnya Kuala Lumpur dijangka mengalami perubahan profil penduduk pada masa hadapan dengan bandar raya akan mempunyai saiz isi rumah yang kecil daripada 3.2 pada 2025 kepada 3.0 pada 2040.

Dalam pada itu, PSKL2040 memaklumkan penyediaan perumahan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sangat penting dan usaha kerjasama daripada pelbagai agensi perlu diberi perhatian bagi memastikan golongan ini tidak diabaikan.

“Bilangan kumulatif OKU yang berdaftar di Kuala Lumpur pada 2020 meningkat sebanyak 12.2 peratus iaitu 38,590 daripada 34,299 orang pada 2019.

“Antara inisiatif yang perlu dilakukan ialah menyediakan kemudahan kepada golongan OKU bagi menyewa rumah kos rendah atau rumah pangsa DBKL serta kemudahan yang sesuai dan mudah diakses seperti ramp dan tempat letak kenderaan.

“Inisiatif lain antaranya termasuklah memperuntukkan dua peratus kuota bagi golongan OKU di setiap kawasan kediaman yang bersesuaian selain reka bentuk ruang rumah yang memenuhi piawaian, peraturan dan garis panduan untuk reka bentuk bebas halangan serta reka bentuk sejagat,” jelasnya.

Sebagai rekod, diwartakan pada 19 Oktober 2023, PSKL2040 kini menggantikan PSKL2020 sebagai dokumen perancangan masa hadapan Kuala Lumpur dalam memacu pembangunan strategik ibu negara Malaysia secara indikatif hingga 2040. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas