Berita

KSU, KP perlu berani tamat perkhidmatan kontraktor berprestasi rendah – KSN

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 November 2023 11:00 AM MYT

KETUA setiausaha (KSU) dan ketua pengarah (KP) perlu memantau pelaksanaan setiap projek serta berani menamatkan program dan projek tertentu atau perkhidmatan kontraktor berprestasi rendah, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Penyeliaan dan pemantauan sesuatu program atau projek hendaklah dilaksanakan dengan berintegriti dan rapi supaya tindakan awal dapat dilaksanakan,” katanya pada majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2023 di sini hari ini.

Dalam teks ucapan dibacakan oleh Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Mohd Zuki berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh kepercayaan kepada penjawat awam berbanding hanya sekadar bergantung kepada perunding luar.

“Kerana percayakan kita semua para penjawat awamlah, beliau (Anwar) turut mengamanahkan kita untuk melaksanakan projek kecil dan penyelenggaraan di KPM (Kementerian Pendidikan) menerusi pemerkasaan pelaksanaan projek persekutuan di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Bagi Projek Penyelenggaraan Kecil KPM sehingga 31 Okt lepas, Mohd Zuki berkata sebanyak 8,109 projek atau 97.1 peratus telah memperoleh Surat Setuju terima (SST) berbanding keseluruhan 8,354 projek.

Projek berstatus siap pula adalah sebanyak 4,764 dengan 3,018 projek dalam pembinaan dan 328 projek digugurkan pelaksanaan, katanya.

“Ini menunjukkan komitmen padu daripada semua pihak yang berikhtiar untuk menjayakannya sehingga projek siap pada akhir tahun ini. Sebagai makluman, projek-projek yang memberi impak besar kepada rakyat seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Setakat 6 Nov lepas, Mohd Zuki berkata berdasarkan prestasi perbelanjaan Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak 76.84 peratus atau RM74.53 bilion telah dibelanjakan berbanding jumlah peruntukan RM97 bilion melibatkan 8,241 program atau projek.

Untuk memberi gambaran sebenar prestasi perbelanjaan pembangunan di lapangan, beliau berkata kategori DE Asas menunjukkan perbelanjaan RM32.90 bilion atau 65.70 peratus berbanding jumlah peruntukan sebanyak RM50.08 bilion melibatkan 8,052 program atau projek.

Beliau berkata purata perbelanjaan pembangunan adalah 65.69 peratus dengan tiga kementerian tertinggi dalam prestasi belanja DE Asas iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Pengangkutan.

“Masih terdapat beberapa kementerian yang berbelanja kurang daripada 60 peratus. Sehubungan itu, saya menyeru supaya perbelanjaan ini dapat ditingkatkan ke tahap optimum sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Pada APN 2023 itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapat tempat pertama bagi kategori anugerah pengurusan Industrialised Building System(IBS) terbaik di bawah RM1 bilion.

Turut menerima anugerah adalah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi kategori anugerah penilaian hasil projek berprestasi tinggi mampan.

APN 2023 merupakan platform bagi perkongsian kejayaan dan amalan pengurusan program dan projek terbaik di peringkat kementerian serta agensi kerajaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas