Berita

Kontena Israel terkeluar dari pelabuhan, pengendali diberi amaran keras

- Diterbit 18 Mac 2024 5:25 PM MYT

KEMENTERIAN Pengangkutan telah memberikan satu amaran keras kepada pengendali pelabuhan yang tersilap membenarkan kontena dengan logo syarikat berpangkalan di Israel, ZIM keluar dari pelabuhan dan berada di lebuh raya.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata sebelum ini pihaknya telah memberikan arahan agar semua kotak kontena berjenama ZIM tidak keluar daripada pelabuhan dan mesti dikeluarkan ke negara asal mereka atau negara lain.

“Kita baru mendapat laporan…pengendali pelabuhan tersilap terkeluarkan satu kontena ini, jadi memang kita akan beri teguran kepada pengendali pelabuhan ini.

“Ia diberikan satu amaran keras bahawa kita tak nak lihat mana-mana kontena ini keluar dari pelabuhan kita dan apa yang sedia ada itu perlu dikeluarkan (dari negara ini) secepat mungkin,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah antara kerajaan dan Malaysia Airport hari ini.

Loke berkata demikian mengulas sebuah video tular mengenai lori kontena ZIM yang berada di lebuh raya negara ini pada 16 Mac lepas.

Beliau juga memberi jaminan bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku lagi.

“Perkara ini tidak akan berulang. Kita hanya ada empat atau lima sahaja lagi kontena berjenama ini (yang akan dikeluarkan dari negara ini) malangnya ada satu terkeluar dari Pelabuhan,” katanya.

Disember lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memutuskan tidak lagi menerima kapal menggunakan bendera Israel memasuki negara ini berkuat kuasa serta-merta, selain melarang kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memutuskan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas