Berita

Kejayaan Bumiputera penting untuk kejayaan Malaysia MADANI

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 2 Mac 2024 4:35 PM MYT

KETUA Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata kejayaan masyarakat Bumiputera penting untuk menjayakan aspirasi Malaysia MADANI yang inklusif merangkumi semua kaum.

Beliau berkata masyarakat MADANI yang bersatu, yang disifatkan sebagai komponen penting untuk negara terus mencipta kejayaan dan maju, memerlukan kerjasama strategik semua pihak yang merentasi kaum, antara bumiputera dan bukan bumiputera.

“Dalam era globalisasi yang sedang kita alami, persaingan yang sebenar adalah antara syarikat tempatan dengan syarikat asing khususnya badan korporat antarabangsa.

Oleh yang demikian, bangsa Malaysia perlu bekerjasama dan bukan bersaing sesama sendiri (atau) terjejas dengan pemikiran lapuk yang terbelenggu dengan mentaliti permainan hasil tambah sifar,” katanya menerusi kenyataan selepas menghadiri Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, Nga bersetuju dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa masyarakat Malaysia MADANI perlu fokus meningkatkan daya saing syarikat tempatan untuk bersaing di pentas global dan bukan menumpukan perhatian kepada persaingan antara masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Nga juga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa semua rakyat Malaysia supaya berusaha mencari peluang bekerjasama berpaksikan kepada prinsip Malaysia MADANI untuk mencapai kejayaan bersama.

Semangat kerjasama itu, menurut Nga dapat menjadikan Malaysia kembali disegani dan dihormati di pentas dunia serta menjadi ekonomi ke-30 terbesar dan menduduki tangga ke-12 indeks daya saing dunia menjelang 2030. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas