Berita

Kedutaan Arab Saudi adakan aktiviti sempena Hari Harimau Bintang Arab Antarabangsa

- Diterbit 11 Februari 2024 1:40 PM MYT

KEDUTAAN Arab Saudi di Malaysia mengadakan aktiviti berjalan pantas atau ‘brisk walking’ beramai-ramai di Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur petang Sabtu bersempena Hari Harimau Bintang Arab Antarabangsa.

Duta Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibrahim Abdullah Al Sulaim turut menyertai aktiviti itu.

Beliau memberitahu Bernama, aktiviti itu bertujuan menyebarkan kesedaran tentang isu alam sekitar yang mempengaruhi harimau secara amnya dan khususnya harimau bintang Arab.

10 Februari adalah Hari Harimau Bintang Arab Antarabangsa ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Acara ‘brisk walking’ sejauh tujuh kilometer ini yang bermula pada pukul 3 petang (Sabtu ) disertai pegawai kedutaan Arab Saudi, masyarakat Arab di Malaysia, orang awam serta sekumpulan pelajar dari Sekolah Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Setiausaha Duta Arab Saudi ke Malaysia Nisreen Abu Bakr menambah, harimau bintang Arab yang ditemui di Semenanjung Arab semakin pupus dan jarang ditemui lagi dengan jumlah yang masih tinggal dianggarkan kurang daripada 200 ekor.

Beliau menjelaskan, di samping Arab Saudi, harimau bintang Arab dilaporkan turut terdapat di Yaman, Oman dan Emiriah Arab Bersatu, dan Arab Saudi mengambil inisiatif memelihara harimau itu yang kini berada di ambang kepupusan.

“Kami kini dalam peringkat memelihara harimau spesies ini daripada terus pupus, menjaga mereka agar tidak menjadi mangsa kegiatan pemburuan haram”, tambahnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas