Berita

KDNKA rekod nilai rampasan hampir RM1 bilion dalam pelbagai operasi tahun lepas

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 4 Januari 2024 6:05 PM MYT

JABATAN Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman merekodkan nilai rampasan sebanyak RM979.89 juta menerusi pelbagai operasi  membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi yang dijalankan tahun lepas.

Pengarahnya Datuk Seri Hazani Ghazali dalam kenyataan di sini hari ini berkata dalam tempoh sama, sebanyak 5,646 tangkapan telah dibuat menerusi 7,355 kes yang dilaporkan.

Beliau berkata kejayaan itu dicapai antaranya menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan nilai rampasan sebanyak RM384.23 juta, diikuti Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan Siasatan Khas sebanyak RM301.84 juta, Pasukan Polis Marin (RM254.33 juta) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (RM37.83 juta).

Selain itu, Hazani berkata KDNKA juga akan meningkatkan dan memperkukuhkan keselamatan negara berpaksikan tiga fokus utama bagi tahun ini.

Tiga fokus berkenaan adalah mengenai ancaman keselamatan dengan memperkukuhkan penguatkuasaan keselamatan di sempadan negara dan perolehan aset-aset moden dan bagi fokus kedua iaitu menjamin keselamatan khazanah negara dan keterjaminan sekuriti makanan, KDNKA akan memperkasakan jaringan kolaborasi antara dan dalam agensi.

Fokus ketiga iaitu keselamatan perbatasan dan pemantauan penguatkuasaan undang-undang darat dan maritim, jabatan itu akan mewujudkan pangkalan operasi hadapan di kawasan keselamatan dan mengadakan kerjasama  dengan jabatan berkaitan berhubung keselamatan di sempadan negara Thailand, Filipina dan Indonesia.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus dijalankan dari semasa ke semasa selain menyeru kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah kepada polis. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas