Berita

Floria Diraja Putrajaya dilanjutkan hingga 11 September, masuk percuma

DATUK Seri Dr Shahidan Kassim (lima dari kanan) hadir memeriahkan Majlis Penutup Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 serta turut mengumumkan lanjutan tarikh sehingga 11 September ini.
- Diterbit 6 September 2022 4:27 AM MYT

FLORIA Diraja Putrajaya 2022 dilanjutkan sehingga 11 September bagi memberi lebih banyak peluang kepada orang ramai berkunjung ke pameran tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata keputusan untuk melanjutkan acara itu dibuat selepas mengambil kira musim cuti sekolah sekarang.

“Kita harap ramai ibu bapa dapat membawa anak-anak mereka sepanjang tempoh cuti persekolahan untuk ke pameran ini secara percuma mulai esok,” katanya ketika berucap pada majlis itu hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlum Mak Ujud.

Sebelum ini, orang ramai perlu membayar harga tiket berharga RM15 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun manakala Orang kurang Upaya (OKU) boleh masuk secara percuma.

Shahidan berkata acara yang menampilkan hampir sejuta jenis pokok, tumbuhan dan bunga yang ditanam itu telah menerima kira-kira 400,000 pengunjung setakat ini.

“Dengan lanjutan yang diberikan hingga hujung minggu ini, kami menjangkakan akan ada pertambahan kepada 500,000 pengunjung,” tambahnya.

“Pihak penganjur akan membuat pengisian yang bermanfaat bagi menarik lebih ramai pengunjung terutama golongan muda di Putrajaya termasuk berkemungkinan menjemput Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin untuk memberikan ceramah agama.

“Selain itu, penganjur juga akan membuka penyertaan cabutan bertuah untuk pengunjung dengan menawarkan sebuah motosikal dan peralatan elektrik sebagai tarikan bagi memeriahkan lagi Floria Diraja Putrajaya ini,” katanya.

Diadakan buat pertama kali pada 2007, Floria Putrajaya pada asalnya bertujuan sebagai acara tahunan bagi menyemarakkan kalendar aktiviti bandar pentadbiran.

Acara itu akhirnya diletakkan di bawah Perbadanan Putrajaya pada 2012 berikutan peningkatan bilangan peserta antarabangsa.

Lapan negara mengambil bahagian tahun ini termasuk China, Indonesia, Jerman, Korea Selatan, New Zealand, Singapura, Taiwan dan Thailand.
Royal Floria Putrajaya beroperasi dari jam 9 pagi hingga 10 malam.

Pada majlis tersebut, Shahidan turut mengistiharkan Bunga Raya atau nama saintifiknya, Hibiscus rosa-sinensis sebagai bunga rasmi bagi Putrajaya dan Wilayah Persekutuan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas