Berita

Feri laluan Labuan-Menumbok-Labuan tambah perjalanan tampung lonjakan permintaan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Disember 2023 3:50 PM MYT

LABUAN Point Enterprise, syarikat pengurusan tiket yang menyelia perkhidmatan feri roll-on roll-off (ro-ro) Labuan-Menumbok-Labuan, hari ini mengumumkan dua perjalanan harian tambahan bagi memenuhi lonjakan permintaan yang tidak dijangka.

Pengurusnya, Robert Ling berkata jadual sedia ada terdiri daripada tujuh perjalanan dan memandangkan permintaan yang meningkat, perjalanan harian akan ditambah menjadi sembilan dengan khidmat gabungan empat feri – Kimanis 1, Putrajaya 1, Joy Star dan Goodwill Star.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pengguna terutama mereka yang terkandas di Menumbok, Sabah, dapat kembali ke pulau ini memandangkan cuti sekolah bakal berakhir.

“Justeru, kami akan meningkatkan perjalanan harian daripada tujuh kepada sembilan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Keputusan itu dibuat susulan penggantungan sementara operasi feri Galaxy dan Blue Ocean yang diuruskan oleh pengendali lain, Juta Bonus Sdn Bhd, bermula Khamis (28 Dis) disebabkan masalah teknikal.

Tarikh penyambungan semula perkhidmatan kedua-dua feri itu tidak dinyatakan.

“Kami akan menilai situasi itu untuk menentukan sama ada pelarasan tambahan diperlukan, yang dijangka meningkatkan perjalanan harian kepada maksimum 11 untuk menampung pengguna yang terkandas dan memastikan aliran pengangkutan yang lancar,” kata Robert.

Beliau berkata perjalananan tambahan itu bertujuan mengurangkan kesulitan yang disebabkan oleh gangguan yang tidak dijangka dan memastikan perjalanan pulang pada masanya bagi mereka yang terjejas.

“Labuan Point Enterprise kekal komited untuk memudahkan keperluan pengangkutan masyarakat dan memberi respons segera terhadap masalah yang timbul oleh penggantungan sementara perkhidmatan feri tertentu,” katanya.

Memandangkan cuti panjang sempena sambutan Krismas dan akhir tahun, menarik hampir 10,000 penduduk Labuan ke pelbagai bahagian di Sabah, penggantungan perkhidmatan feri Galaxy dan Blue Ocean secara tiba-tiba, menyebabkan ratusan penumpang terkandas di Terminal Feri Menumbok, Sabah, semalam (28 Disember). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas