Selebriti

Faizal Tahir lelong koleksi kesayangan

FAIZAL Tahir
- Diterbit 17 November 2023 2:05 AM MYT

RAMAI selebriti tampil menzahirkan protes terhadap kekejaman tentera Israel kepada masyarakat Islam di Palestin.

Terbaharu, penyanyi dan komposer Faizal Tahir berjaya mengumpul dana sebanyak hampir RM44,000 menerusi acara Faith 4 Palestin anjurannya baru-baru ini.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Saya memang tak sangka acara amal ini (Faith 4Palestin) dapat mengumpul jumlah sumbangan yang besar dan mendapat sambutan sangat baik. Ia satu pencapaian bermakna buat saya kerana perancangan dibuat dalam masa singkat.

“Hanya dua minggu saja saya dan pasukan merancang. Boleh dikatakan acara ini macam main langgar saja sebab memang tak boleh nak tunggu lama. Bantuan sangat diperlukan oleh saudara kita di Palestin. Jadi, apa lagi yang saya boleh buat melainkan dengan cara ini,” katanya.

Menerusi lelongan barangan peribadi miliknya, Faizal gembira berjaya menjual kesemuanya dan memperoleh jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM15,022.99 selain kira-kira RM25,437.22 kutipan jualan tiket showcase.

Antara barangan lelongan Faizal kepada penonton pada acara Faith 4Palestin adalah jaket, trofi kemenangan Anugerah Juara Lagu (AJL), kasut dan dua buah gitar, termasuk koleksi 47 figura aksi miliknya.

“Trofi AJL itu, saya dapat ketika lagu Assalamualaikum yang juga penyertaan terakhir saya dalam acara anugerah berkenaan. Selain itu, salah satu gitar yang dijual adalah pemberian istimewa daripada isteri tercinta.

“Alhamdulillah, dia beri izin untuk saya jual gitar yang dibeli dengan harga RM6,399.99 itu demi acara amal ini. Semua ini saya lakukan dengan ikhlas walaupun kesemua barangan yang dilelong itu adalah kesayangan dan cukup bermakna.

“Tapi, inilah cara sebenar iaitu belajar kuatkan hati untuk melepaskan barangan yang betul-betul disayangi dengan ikhlas kerana Allah,” katanya.

Faizal juga turut mengundang aktivis Nadir Al Nuri dari badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia untuk berkongsi kisah kemelut Palestin yang masih berlaku ketika ini.

Penyanyi Syamel juga hadir menghiburkan penonton, selain Faizal turut membawa enam orang anaknya naik ke atas pentas buat kali pertama untuk menyanyi bersama dengannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas