Fokus

Dramatis Studio melahirkan bakat baru

ROSLI RAHMAN menyediakan ruang untuk pendatang baru seni bereksperimen dalam seni persembahan.
- Diterbit 8 September 2023 10:30 AM MYT

MULA beroperasi sejak setahun yang lalu, Dramatis Studio yang terletak di Sri Rampai Kuala Lumpur merupakan antara ruang atau platform melahirkan lebih ramai pelakon serta pengarah khususnya dalam bidang seni teater.

Pemilik Dramatis Studio, Rosli Rahman Adam, berkata ruang seni atau black box tersebut disediakan buat generasi muda berkongsi karya mereka kepada orang ramai.

Black box ini memang berskala kecil kerana fokus kita adalah untuk memberi ruang kepada pengarah muda mempersembahkan naskhah mereka mengikut bajet yang ada. Kebiasaannya kita lihat teater di pentas besar seperti Istana Budaya, Malaysia Tourism Centre (MaTiC) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di mana semestinya memerlukan satu tim produksi serta bajet yang besar.

“Namun, bagi mereka yang baru menapak dalam bidang seni ini agak sukar untuk melakukannya di tempat yang besar seperti itu. Jadi, kewujudan teater independent seperti kami dapat membantu golongan yang baharu.

“Ruang black box ini diwujudkan buat pengarah-pengarah muda kerana saya percaya meskipun apa yang dipersembahkan di sini adalah karya kecil namun jiwa mereka besar.

“Kemudahan yang disediakan di sini juga adalah mengikut teknologi terkini yang bersesuaian dengan persembahan seni teater jadi saya rasa ia merupakan satu ruang yang bagus buat pengkarya muda berkongsi hasil karya mereka kepada masyarakat,” jelasnya bakat muda sama ada pelakon dan pengarah perlu dicungkil daripada awal bagi memastikan seni teater ini tidak terus mati tanpa pelapis.

Katanya lagi, selain daripada ruang persembahan, Dramatis Studio turut menyediakan kelas lakonan khususnya teater selain terbuka kepada orang ramai bagi sebarang penganjuran acara dan sebagainya.

“Dramatis Studio bermula dengan kelas lakonan di Wangsa Melawati yang diadakan pada setiap minggu bermula pukul 2 sehingga 6 petang di mana saya sendiri yang melatih bakat-bakat baharu mengenai asas lakon teater dan skrin (drama TV). Kemudian kami berpindah ke sini (Sri Rampai) kerana lebih dekat dengan pengangkutan awam.

“Semua pihak dialu-alukan untuk menggunakan ruang kecil ini dan boleh hubungi Liza Tan (012-241 6263) untuk maklumat lanjut serta tempahan. Kita juga ada menawarkan harga promosi bagi pementasan teater sehingga hujung tahun ini,” ujarnya pada Oktober 2023 sebuah lagi pementasan teater akan diadakan di Dramatis Studio. – WILAYAHKU

CABARAN ruang yang terhad menguji tahap keupayaan pelakon.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas