Berita

CAAM gantung sementara My Heli Club

- Diterbit 5 Januari 2021 7:24 AM MYT

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung My Heli Club daripada menjalankan latihan penerbangan selama enam bulan berkuat kuasa hari ini, susulan dua nahas melibatkan tiga helikopternya.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo berkata tindakan itu dibuat menerusi penggantungan sementara Sijil l Kebenaran untuk Organisasi Latihan menurut Peraturan 67 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang dikeluarkan bagi institusi tersebut.

“Kelab ini masih dibenar melaksanakan penerbangan persendirian, namun tidak dibenar menjalankan latihan penerbangan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penggantungan sementara itu menyusuli dua insiden melibatkan tiga helikopter yang dioperasikan oleh My Heli Club, iaitu pada 8 Nov tahun lepas di Taman Melawati (melibatkan dua pesawat) dan pada 1 Jan lalu di Pulau Indah, Klang, Selangor.

Voo juga berkata CAAM sedang menjalankan siasatan dari segi pengawalseliaan berhubung dua nahas melibatkan helikopter My Heli Club tersebut.

“Tindakan ini dilaksanakan sebagai memastikan pematuhan terhadap peraturan Malaysia, dan paling penting demi menjamin keselamatan semua ahli kelab itu dan juga orang awam,” katanya.

Dalam kejadian 8 Nov lalu, dua helikopter jenis Guimbal Cabri G2 (G2CA) dengan masing-masing membawa dua orang, dipercayai sedang menjalani latihan penerbangan, bertembung di udara di kawasan Taman Melawati.

Satu daripada helikopter terbabit terhempas dan mengorbankan kedua-dua individu yang menaikinya iaitu bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia Mohamed Sabri Baharom, 56 dan ahli perniagaan  Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad  Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan penumpang Tan Chai Eian, 51, yang menaiki sebuah lagi helikopter, terselamat selepas pesawat udara itu berjaya melakukan pendaratan kecemasan di kawasan berhampiran.

Pada 1 Jan lalu, dua lelaki cedera ringan selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan tanah kosong di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang di Pulau Indah. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas