Berita

Bersatu lawan kezaliman Israel

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Abdul Hakim Hafizi Hamizan mengajak negara-negara Islam bersatu dalam mengecam kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin
- Diterbit 17 Mei 2021 4:47 AM MYT

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN Antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap rejim Israel bagi melindungi rakyat Palestin.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Abdul Hakim Hafizi Hamizan mengajak negara-negara Islam bersatu dalam menentang tindakan kejam Zionis serta berkongsi dan ketengahkan isu yang berlaku di Palestin.

“Saya menyeru agar Malaysia dan negara-negara Islam bersatu menentang tindakan Zionis dan terus ketengahkan isu yang berlaku di Palestin.

“Ini adalah kerana ia satu isu penting untuk menyatukan hati umat Islam yang beriman dan kasih kepada tanah Palestin walaupun berbeza ideologi serta pendapat,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau juga mempersoalkan mengenai apakah tindakan rasional yang dilakukan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa terutama PBB dan OIC berkenaan isu kezaliman yang tidak berperikemanusiaan pihak Zionis terhadap rakyat Palestin yang semakin hari mereka ditindas, dizalimi tanpa belas kasihan.

Ujarnya, jika Pertubuhan- Pertubuhan Antarabangsa tidak memainkan peranan yang sepatutnya, Malaysia serta negara Islam yang lain perlu bersatu dalam meneruskan usaha membantu dan memberi sokongan yang kuat kepada Palestin serta mengecam sekeras-kerasnya kezaliman terkutuk Zionis Israel.

Dalam pada itu, Abdul Hakim turut melahirkan rasa bangga terhadap kesedaran rakyat Malaysia khususnya anak muda yang bersatu hati menentang kezaliman Zionis Israel melalui media sosial. – WILAYAHKU -DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas